Ranhill SAJ diramal terus menjadi penyumbang hasil utama kepada Ranhill Utilities, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Ranhill SAJ diramal terus menjadi penyumbang hasil utama kepada Ranhill Utilities, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - MIDF Research meramalkan Ranhill SAJ Sdn Bhd akan terus menjadi penyumbang hasil utama kepada Ranhill Utilities Bhd pada suku akan datang berikutan kenaikan tarif air domestik.

 

Katanya, ia juga didorong permintaan yang lebih baik daripada pengguna bukan domestik disebabkan pertumbuhan pusat data di Johor dan prospek pertumbuhan ekonomi akan datang dari Zon Kewangan Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ).

 

"Kumpulan itu juga berminat untuk mengambil bahagian dalam Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) yang diumumkan baru-baru ini yang akan membolehkan pengeluar tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti mereka untuk menjual elektrik melalui grid melalui akses pihak ketiga (TPA)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keuntungan Ranhill Utilities 2Q susut 45.8% disebabkan oleh pembalikan keuntungan RM8 juta anak syarikat

 

Terdahulu, penyusutan keuntungan itu disebabkan oleh pembalikan keuntungan RM8 juta di anak syarikat milik 51%nya, Ranhill Worley Sdn Bhd, berkaitan projek minyak dan gas.

 

Hasil juga turun 5.4% kepada RM561.44 juta disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada projek perkhidmatan solar dan kejuruteraan, walaupun terdapat pertumbuhan dalam unit airnya.

 

Bagi separuh pertama FY24, pendapatan kumpulan meningkat 0.9% kepada RM1.12 bilion, tetapi untung bersih turun 27.2% kepada RM16.88 juta.

 

Katanya, bermula suku ini, segmen Alam Sekitar akan dijenamakan sebagai 'Air' manakala Tenaga dinamakan semula sebagai 'Kuasa' dan lain-lain dengan segmen itu juga terdiri daripada pegangan pelaburan, pengurusan, perundingan dan perkhidmatan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) RM1.07 sesaham," katanya.- DagangNews.com