Rapid KL perkenal pembelian dalam talian melalui aplikasi MyRapid Pulse | DagangNews Skip to main content

Rapid KL perkenal pembelian dalam talian melalui aplikasi MyRapid Pulse

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov -  Rapid KL kini memberi pilihan kepada para pengguna untuk menikmati pengalaman pembelian yang mudah dan pantas secara dalam talian bagi produk-produk Rapid KL melalui aplikasi MyRapid Pulse.

 

Prasarana Malaysia Bhd berkata, produk-produk Rapid KL yang boleh dibeli melalui aplikasi MyRapid Pulse, termasuk Pas Perjalanan Tanpa Had My50, yang mana menawarkan perjalanan tanpa had selama 30 hari di rangkaian Rapid KL, merangkumi LRT, MRT, Monorel, BRT, bas Rapid KL, dan perkhidmatan bas perantara MRT di Lembah Klang.

 

Selain itu, Pas MyCity menawarkan perjalanan tanpa had selama 1 hari atau 3 hari di semua rangkaian Rapid KL, termasuk BRT, bas Rapid KL, dan perkhidmatan bas perantara MRT di Lembah Klang.

 

"Semua pembelian pas dalam talian perlu ditebus di Kaunter Khidmat Pelanggan di mana-mana stesen LRT/MRT/Monorel. Pengguna perlu menebus pas dalam tempoh 30 hari selepas pembelian. Inisiatif ini adalah diperingkat percubaan dan masih di dalam proses penambahbaikan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, seramai 4,000 pengguna terawal yang membuat pembelian pas melalui aplikasi MyRapid PULSE boleh menebus botol air Rapid KL yang menarik secara percuma.

 

"Promosi ini adalah terhad kepada setiap satu transaksi dalam talian," katanya.

 

Hadiah tersebut hanya boleh dituntut di 11 stesen terpilih, dan perlu dituntut di lokasi yang sama apabila membuat penebusan pas perjalanan. 

 

 

prasarana

 

 

Stesen-stesen tersebut termasuk, Stesen Masjid Jamek, Stesen Plaza Rakyat, Stesen Bandaraya, Stesen Kwasa Damansara, Stesen LRT Pasar Seni, Stesen KLCC, Stesen LRT Hang Tuah, Stesen MRT Bukit Bintang, Stesen MRT Maluri, Stesen Imbi dan Stesen LRT KL Sentral.

 

Promosi ini telah bermula pada 1 November dan akan berakhir pada 30 November 2023 - DagangNews.com