Ray Go Solar berhasrat kembangkan perniagaan solar di negara ini | DagangNews Skip to main content

Ray Go Solar berhasrat kembangkan perniagaan solar di negara ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mac - Syarikat pembekal penyelesaian tenaga solar, Ray Go Solar Holdings Berhad berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dalam industri solar menerusi strategi pertumbuhan serampang dua mata membabitkan penyelesaian pajakan solar dan meneroka lebih jauh kehadirannya di Pulau Pinang dan Johor.

 

Syarikat yang ditubuhkan pada 2012 itu menawarkan pelbagai penyelesaian merangkumi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi pemasangan panel solar bumbung dan tanah serta projek penyelenggaraan.

 

Kumpulan itu memiliki pengalaman yang luas dalam membekalkan penyelesaian solar melibatkan projek industri, komersial dan kediaman selain berjaya menyempurnakan 68 porjek dengan kapasiti pemasangan 11.02 Megawatts pada 31 Oktober 2021.

 

Antara pelanggan mereka termasuk QL Resources Group, Nippon Paint (Malaysia) Sdn. Bhd. and Yeo Aik Hevea (M) Sdn. Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ray Tan berkata, perubahan iklim dunia merupakan antara cabaran utama yang perlu dihadapi membuatkan pemegang taruh di seluruh dunia mahu bertukar kepada tenaga yang boleh diperbaharui.

 

"Penyelesaian yang kami tawarkan bukan sahaja dapat membantu pelanggan dalam menjimatkan kos menerusi kecekapan tenaga tetapi dapat membantu mereka mencapai matlamat kelestarian global.

 

solar

 

"Bagi mempercepatkan usaha penggunaan penyelesaian solar di Malaysia, adalah sangat penting untuk mengurangkan kos permulaa kepada pelanggan dan atas sebab itu kami memperkenalkan sistem penyelesaian solar pajakan yang akan membantu mengurangkan kos selain meningkatkan kadar penembusan untuk produk kami.

 

"Selain itu kami berhasrat untuk memenuni permintaan perlanggan selaras dengan polisi kerajaan dan kami akan menggunakan peluang yang ada untuk berkembang di utara dan selatan Semenanjung Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Ray Go Solar dijangka mengumpul modal sebanyak RM6.27 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) menerusi penyenaraian di LEAP Market Bursa Malaysia dengan RM2 juta akan digunakan untuk perkembangan projek pajakan solar dan RM1 juta bagi pengembangan operasi di Pulau Pinang dan Johor.

 

Sejumlah RM2.43 juta akan digunakan sebagai modal kerja dan baki RM0.84 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com