Reneuco gagal serah laporan tahunan mengikut tempoh yang ditetapkan | DagangNews Skip to main content

Reneuco gagal serah laporan tahunan mengikut tempoh yang ditetapkan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Reneuco Bhd, yang melaporkan kerugian rosot nilai sebanyak RM133 juta dua bulan lalu, gagal menyerahkan laporan tahunannya bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2023 (FY23).

 

Syarikat yang mencatatkan kerugian itu sebelum ini dikenali sebagai KPower Berhad, sepatutnya menyerahkan laporan tahunan itu dalam tempoh empat bulan dari penutupan tahun kewangan atau pada 31 Januari 2024.

 

"Kelewatan pengeluaran Laporan Tahunan 2023 adalah kerana juruaudit luar memerlukan masa tambahan bagi menyelesaikan urusan audit dan kumpulan itu ingin memberi lebih banyak masa untuk juruaudit luar melengkapkan penyata kewangan teraudit bagi tempoh kewangan berakhir 30 September 2023. 

 

"Syarikat sedang bekerjasama dengan juruaudit luar untuk memuktamadkan audit dengan segera," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu dijangka mengeluarkan dan menyerahkan Laporan Tahunan 2023 menjelang Mac 2024 walaupun mereka sedang berusaha menyiapkannya pada tarikh akhir 8 Februari 2024.

 

Di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, Bursa Securities mungkin menggantung dagangan saham syarikat jika gagal menyerahkan laporan dalam tempoh lima hari pasaran selepas tamat tempoh masa yang berkaitan (31 Januari 2024), iaitu pada 8 Februari 2024.

 

“Penggantungan itu akan berkuat kuasa pada hari pasaran berikutnya selepas tarikh akhir penggantungan iaitu pada 9 Februari 2024 dan akan ditarik balik pada hari pasaran berikutan pengumuman/pengeluaran Laporan Tahunan 2023 tertunggak melainkan ditentukan sebaliknya oleh Bursa Securities,” kata Reneuco.

 

Katanya, jika mereka gagal mengeluarkan laporan dalam tempoh enam bulan dari masa itu, Bursa Securities boleh memulakan prosedur nyah penyenaraian terhadap syarikat itu.

 

Kumpulan itu mengalami kerugian bersih RM125.05 juta pada suku Julai-September 2023 berikutan hasil RM4.57 juta. Kerugian itu disebabkan kemerosotan nilai sebanyak RM133 juta.

 

Reneuco telah menukar tahun kewangannya kepada 30 September daripada 30 Jun, bagi memudahkan lembaga pengarah melaksanakan penyelarasan perniagaan berterusan kumpulan. - DagangNews.com