KUALA LUMPUR 2 Dis - Reservoir Link Energy Bhd. menerusi anak syarikat pegangan 51% miliknya, Founder Energy Sdn. Bhd, memenangi lima kontrak solar bernilai RM12.05 juta yang dijangka siap antara akhir tahun ini hingga pertengahan 2023.
Kontrak tersebut yang diperoleh sekitar Oktober hingga November 2022 terutamanya melibatkan pembangunan kemudahan berkaitan tenaga solar di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.
Skop perkhidmatan bagi projek berkenaan bergantung kepada kepakaran Reservoir Link yang berkaitan dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE).
Perolehan terkini itu secara tidak langsung melonjakkan nilai kontrak kumpulan bagi segmen RE kepada RM51.5 juta.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, permintaan pelanggan terus meningkat dan menyaksikan penambahan berterusan dalam nilai kontrak kumpulan.
"Peralihan tenaga bukanlah sesuatu yang mudah tetapi saya amat berbangga melihat minat yang semakin meningkat daripada pelanggan kami dengan permintaan yang berkembang pesat.
"Selaras dengan ideologi kami untuk membawa nilai jangka panjang, kami amat percaya bahawa kerja keras kami hari ini akan meningkatkan lagi nilai untuk kumpulan," katanya. - DagangNews.com