Reservoir Link raih kontrak pertama bagi 2022 daripada Tanjung Offshore | DagangNews Skip to main content

Reservoir Link raih kontrak pertama bagi 2022 daripada Tanjung Offshore

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Feb - Syarikat pembekal perkhidmatan berkaitan tenaga, Reservoir Link Energy Berhad menerima kontrak pertama bagi tahun 2022.

 

Kumpulan itu menerusi Reservoir Link Sdn. Bhd. telah mendapat surat penerimaan daripada Tanjung Offshore Services Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja penyediaan peralatan bagi Perkhidmatan Bersepadu Palam dan Pengabaian.

 

Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai berkata, perkhidmatan itu adalah untuk beberapa telaga yang terletak di luar pesisir Sarawak.

 

Beliau berkata, skop pekerjaan  untuk kontrak itu merangkumi penyediaan peralatan dan perkhidmatan untuk penciptaan terowong edaran (penetrator), teknologi basuh dan alat penyimen.

 

"Saya gembira untuk mengumumkan kontrak pertama kumpulan untuk tahun ini.

 

"Saya berterima kasih kepada Tanjung Offshore kerana melantik kami sebagai kontraktor untuk projek ini. Saya yakin dengan kapakaran kami dalam bidang ini akan memberikan hasil yang positif.

 

BACA JUGA: Pendapatan Reservoir Link meningkat 28% kepada RM112.4 juta bagi FY2021

 

"Kami akan berusaha untuk membida lebih banyak kontrak selaras dengan perkembangan kami dalam industri ini dan kumpulan ini juga akan berusaha untuk kekal kompetitif," katanya. 

 

Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 28.5% kepada RM112.4 juta berbanding tahun sebelumnya iaitu RM87.5 juta bagi FY2021 yang berakhir pada 31 Disember 2021.

 

Bagi pendapatan 4QFY2021 juga meningkat sebanyak 53.3% kepada RM33.8 juta berbanding RM22.1 juta yang dicatatkan pada 4QFY2020. - DagangNews.com