KUALA LUMPUR 10 Mac – Resintech Bhd. menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memperoleh kepentingan sebanyak 30% dalam Bionutricia Holding Sdn. Bhd. bernilai RM8.7 juta daripada pemegang saham utamanya.
Penyedia berintegrasi penuh bagi produk polietilena dan polivinil klorida tanpa plastik (uPVC) itu mendapatkan pegangan daripada pemegang saham utama, Ng Kuak Ping dan Kong Siew Mee, yang masing-masing adalah Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Pengurus Besar Bionutricia.
Pengarah Urusan Resintech, Datuk Dr. Teh Kim Poo berkata, penyertaan kumpulan dalam bidang bioteknologi melalui perolehan dalam Bionutricia adalah pengkitirafan kepada peluang pertumbuhan berikutan peningkatan kesedaran pengguna dalam keselamatan makanan.
"Kami menjangkakan permintaan bagi pewarna dan perasa makanan yang lebih selamat dan semulajadi akan terus meningkat ekoran daripada pengguna yang menitikberatkan tentang keselamatan kesihatan dan makanan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bionutricia adalah firma bioteknologi yang ditubuhkan pada 2006, khusus kepada pengeluaran dan pengkomersialan ekstrak berasaskan tumbuhan dan buah-buahan dan fraksi aktif bagi herba tempatan melalui proses nano bioteknologi termaju.
Produk Bionutricia termasuklah ekstrak tumbuhan herba dan berasaskan buah-buahan propietari yang standard, makanan tambahan, bahan-bahan masak, bahan-bahan nutraseutikal, produk penjagaan kesihatan dan bahan makanan fungsian. Kemudahannya telah disahkan GMP, HACCP, Halal JAKIM dan kosher.
Resintech mencatat pendapatan sebanyak RM61.6 juta untuk 9 bulan berakhir 31 Disember 2021, meningkat 13.2% berbanding RM54.4 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Syarikat ini mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5 juta bagi dalam tempoh berkenaan, menurun 7.4% berbanding RM5.4 juta.
Keuntungan selepas cukai pula susut 15.8% kepada RM3.2 juta berbanding RM3.8 juta dalam tempoh yang sama sebelum itu disebabkan sekatan pergerakan dan gangguan kepada operasi perniagaan.
Sementara itu, Kuak Ping berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Resintech yang bukan sahaja menguntungkan kedua-dua pihak, malah memberi peluang pertumbuhan bagi produk dan penyelesaian dalam industri makanan dan minuman.
"Menerusi kerjasama ini juga, kami akan dapat mencari peluang lebih baik untuk mengembangkan lagi perniagaan ini," jelasnya. - DagangNews.com