KUALA LUMPUR 22 Feb – Penyedia penyelesaian pembayaran tanpa tunai Revenue Group Berhad bergandingan dengan UnionPay International (UPI) bagi menyediakan permohonan Sijil Perisytiharan Kesihatan (HDC) bagi rakyat Malaysia yang melawat China menerusi Super App yang dilancarkan baru-baru ini iaitu wanna App.
HDC adalah kod kesihatan yang khusus mengenai status kesihatan dan vaksinasi individu. Keperluan bagi memohon kod kesihatan di China adalah disebabkan pandemik COVID-19.
Pada masa ini, semua pelawat asing perlu mengemukakan permohonan bagi HDC menerusi Kementerian Luar Negara China sebelum mereka dibenarkan untuk memasuki negara tersebut.
App wanna adalah app mobile pelbagai ciri dengan chat mesej sosial (wannaTalk), perkhidmatan e-dompet (wannaPay) dan perkhidmatan penghantaran makanan dengan beberapa restoran (wannaFood).
Ia juga telah menambah ciri pembayaran bil, tambah nilai telco, pasar runcit (I wanna) yang membolehkan pengguna menikmati pengalaman lebih baik dan ciri artificial chatbot (Tao) ke dalam senarai perkhidmatan.
Menerusi kerjasama ini, Super App tersebut juga memiliki Kad PraBayar Maya UnionPay sebagai tawaran pembayaran tidak lama lagi, sebagai tambahan kepada apa yang wannaPay tawarkan sekarang.
Kad Prabayar Maya UnionPay akan membolehkan pengguna membayar di lebih 100,000 terminal saudagar di Malaysia dan lebih daripada 31 juta saudagar di seluruh dunia yang menerima Kod UnionPay Quick Response (QR).
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Revenue, Datuk Eddie Ng Chee Siong berkata, syarikat menjangkakan sambutan kukuh bagi app wanna tersebut.
“Peraturan bagi memohon kod kesihatan di China adalah disebabkan pandemik COVID-19. App wanna ini akan menjadi Super App pertama dan satu-satunya di Malaysia yang membolehkan pengguna memohon HDC apabila ia dilancarkan kelak.
“Kami menyasarkan untuk memiliki satu juta pengguna dalam tempoh setahun. Kami menjangkakan penerimaan akan positif kerana 78.7% populasi kita sudah divaksinasi sepenuhnya dan lebih banyak sempadan negara akan dibuka tahun ini,’’ tambah beliau.
Pengurus Besar Negara UnionPay International bagi Malaysia dan Brunei, David Chong berkata, app wanna terus meneguhkan perkongsian syarikat itu dengan Revenue yang telah terjalin sejak 2011.
“UnionPay mengambil pendekatan menang-menang di dalam perkongsian ini. Inisiatif terbaharu yang bakal memasukan Kod Perisytiharan Kesihatan dan Kad Maya UnionPay di dalam app wanna akan memberikan kemudahan dan pengalaman pembayaran lancar bagi pelanggan Malaysia kami,'' ujarnya.
Beliau berkata, UnionPay telah berada di barisan depan di dalam penggunaan Kod QR sebagai pembayaran di tempat saudagar-saudagar di Malaysia dan seluruh dunia.
''Apabila pergerakan antarabangsa menjadi normal semula kelak, penduduk Malaysia boleh mengimbas Kod QR bagi pembayaran di destinasi pelancongan kegemaran mereka seperti Australia, China, Indonesia, Jepun, Korea, Singapura, United Kingdom dan banyak lagi,” tambah beliau. - DagangNews.com