Revenue Group: Brian Ng akan adakan EGM, singkir lembaga pengarah semasa | DagangNews Skip to main content

Revenue Group: Brian Ng akan adakan EGM, singkir lembaga pengarah semasa

KUALA LUMPUR 17 Jan - Pengasas Revenue Group Berhad, Brian Ng Shih Chiow dan Dino Ng Shih Fang yang telah dituduh atas 'aduan tertentu' dan kemudian digantung daripada jawatan pengarah eksekutif kurang dua minggu lalu, bangkit menentang tuduhan berkenaan. 

 

Brian, yang merupakan pemegang saham tunggal terbesar penyedia penyelesaian e-pembayaran dengan pegangan 11.637%, menyampaikan notis permintaan kepada kumpulan itu pada Jumaat lalu untuk diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi menyingkirkan lembaga pengarah semasa kecuali dia dan Dino, yang merupakan pemegang saham kedua terbesar kumpulan itu dengan 11.44% kepentingan.

 

Sembilan pengarah semasa yang beliau akan disingkirkan termasuk Pengerusi, Nor Azzam Abdul Jalil; Pengarah Urusan merangkap Pengerusi Alternatif, Eddie Ng Chee Siong; Ng Chee Keong, Lai Wei Keat, Loo Jo Anne, Jade Lee Gaik Suan, Alwizah Al-Yafii Ahmad Kamal , Ooi Guan Hoe dan Tham Sai Cheong.

 

Eddie juga merupakan pengasas bersama Revenue Group tetapi tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Brian dan Dino.

 

Selain penyingkiran sembilan individu itu, Brian akan melantik tiga orang lain sebagai ganti iaitu Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, Chong Yu Cheang dan Adinor Mohamed Yunus sebagai pengarah.

 

Dalam satu kenyataan, Brian berkata, beliau sangat prihatin dan amat kecewa dengan kemerosotan dan kemusnahan mendadak kekayaan pemegang saham sejak syarikat itu disenaraikan di Bursa Malaysia pada Julai 2018.

 

"Lembaga Pengarah sedia ada gagal untuk membawa kumpulan itu ke hadapan. Ini telah mengakibatkan permodalan pasaran RGB yang berkurangan daripada  kira-kira RM1 bilion kepada RM234 juta sahaja pada 13 Januari 2023," katanya.

 

"Tiga pengarah baharu yang saya calonkan dalam EGM ini adalah individu yang berkelayakan tinggi, membawa bersama mereka pengalaman kerja terkumpul dan mendalam selama 88 tahun meliputi pentadbiran, operasi dan pengurusan di pelbagai institusi kerajaan dan industri perbankan merangkumi pengurusan risiko, perbendaharaan, perancangan strategik, ditambah dengan audit dalaman, percukaian, tadbir urus korporat dan khidmat nasihat perniagaan kepada syarikat bereputasi," katanya.

 

Menurut Brian, Ammar baru sahaja bersara sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah pada Ogos 2022 selain pernah menjadi pegawai kewangan negeri Kedah.

 

Adinor, yang menghabiskan sebahagian besar hayat kerjanya dalam industri perbankan, meninggalkan Bank Muamalat Malaysia Berhad pada 2019 sebagai ketua ekonominya. Beliau juga pernah menjadi ketua pengurusan risiko dan ketua pegawai risiko bank itu.

 

Sementara itu, Yu Cheang pernah menjadi pengarah eksekutif Moore Stephens Associates Plt sejak 2016, di mana beliau menyediakan jaminan risiko dan tadbir urus serta khidmat nasihat kepada pelanggan korporat.

 

"Tidak dapat dinafikan bahawa kakitangan IT pusat di RGB ialah Dino Ng yang merupakan ketua pegawai teknologi dan saya ketua pegawai operasi, yang bertanggungjawab ke atas operasi bilik belakang. Kami berdua sentiasa berada di bahagian belakang syarikat.

 

"Sudah tiba masanya untuk ke hadapan, ketiga-tiga profesional ini ditugaskan untuk menjaga RGB, sementara kami berdua terus kekal di bahagian belakang melakukan apa yang terbaik buat kami selama ini. Kedua-duanya kami akan kekal sebagai pengarah eksekutif RGB, serta pemegang saham yang besar.

 

"Perniagaan teras RGB adalah dalam urus niaga pembayaran elektronik dan perkhidmatan berkaitan yang berurusan dengan institusi perbankan. Integriti dan ketelusan lembaga pengarah adalah dua tunjang utama syarikat pada masa hadapan, yang tidak boleh dikompromi, dicemari dan akan dipertahankan dalam apa jua kos," kata Brian.

 

Selain rombakan lembaga pengarah, beliau mahu satu resolusi untuk cadangan mempelbagaikan kumpulan itu dalam pembangunan hartanah, pembinaan dan pelaburan hartanah diluluskan. Beliau juga mencadangkan untuk membatalkan kuasa lembaga untuk memperuntukkan saham, dan pembelian balik saham yang diluluskan. - DagangNews.com