RFID jimat masa pengguna tanpa perlu beratur panjang di lebuh raya | DagangNews Skip to main content

RFID jimat masa pengguna tanpa perlu beratur panjang di lebuh raya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Dis - Pelaksanaan teknologi Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuh raya Utara Selatan dilihat akan memudahkan pengguna kerana tidak perlu menghabiskan banyak masa untuk membuat bayaran di plaza tol.

 

Penganalisis ekonomi, Pankaj C. Kumar berkata, penggunaan RFID itu memudahkan semua kerana mereka tidak lagi perlu lagi ke kaunter tambah nilai kerana ia dihubungkan dengan Touch ‘n Go eWallet.

 

Katanya, perjalanan setiap pengguna akan menjadi semakin lancar kerana mereka tidak perlu memperlahankan kenderaan atau berhenti di plaza tol kerana sistem RFID yang digunakan mampu mengesan kenderaan dari jarak jauh.

 

"Saya merupakan pengguna RFID, saya rasa memang sangat baik kerana tidak perlu lagi beratur untuk membuat bayaran atau nak kena buka tingkap kenderaan dan sebagainya.

 

"Sistem yang akan digunakan ini memang sangat efisyen dan akan memberi kesenangan kepada pengguna," katanya kepada DagangNews, hari ini.

 

Dengan pelaksanaan ini, seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyediakan lorong RFID bagi memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuh raya.

 

pankaj
              Pankaj C. Kumar

 

Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi disediakan pada ketika ini.

 

Bagaimanapun, kedua-dua kaedah tersebut (kad Touch ‘n Go dan SmartTAG) akan dihentikan secara berperingkat bagi memberi peluanguntuk lebih banyak lorong RFID disediakan di lebuh raya.

 

BACA JUGA: Transaksi guna RFID di seluruh  lebuh raya Pantai Barat bermula 15 Januari 2021

 

Pankaj juga mengakui, terdapat sesetengah pihak akan membantah penggunaan sistem RFID itu sama seperti ketika Touch n Go diperkenalkan sebelum ini bagi menggantikan sistem pembayaran tunai.

 

"Perkara ini biasa berlaku, kita perkenal sistem baharu akan ada yang bantah, memang ada golongan yang suka cari masalah seperti ini.

 

"Dahulu kita bayar secara tunai dan ganti dengan Tounch n Go, ada yang bising, SmartTAG, pun bising kini RFID, pun mereka bising tetapi perubahan ini memang memberikan kebaikan," katanya.

 

Bermula 15 Januari 2022, transaksi tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) akan dilaksanakan untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuh raya Utara-Selatan.

 

Dengan pelaksanaan ini, seluruh jaringan infrastruktur lebuh raya bertol di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyediakan lorong RFID bagi memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuh raya.

 

Transaksi tol RFID adalah langkah Kementerian Kerja Raya (KKR) ke arah mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia bertepatan dengan keperluan dan kehendak pelanggan lebuh raya serta selari dengan perkembangan teknologi masa kini.

 

''Pelaksanaan RFID mulai 15 Januari 2022 ini juga selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System – ITS Blue Print) yang diterajui oleh KKR termasuklah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi Lane Free Flow - MLFF),’’ kata Kementerian Kerja Raya dalam kenyataan baru-baru ini. - DagangNews.com