KUALA LUMPUR 18 Jan – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mencatatkan kadar pertukaran yang menggalakkan sebanyak 10% transaksi RFID selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari 2022 di seluruh Lebuh raya Utara-Selatan pada hujung minggu lalu.
Dalam kenyataan di sini hari ini, PLUS mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami yang telah berhijrah ke RFID sebagai pembayaran tol pilihan mereka sejak pelaksanaan tersebut.
''PLUS menghargai maklum balas dan pandangan orang ramai terhadap isu kesesakan yang timbul di plaza tol dan telah mengambil tindakan untuk penambahbaikan berdasarkan maklum balas ini,'' kata pengendali lebuh raya itu.
Menurut PLUS, ia juga telah menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol, serta meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.
''Pelanggan lebuh raya disaran untuk memastikan penggunaan lorong yang betul mengikut panduan pada papan tanda yang disediakan.
Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.
''Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan.
''Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma,'' kata PLUS.
Pelanggan lebuh raya dialu-alukan untuk memberikan maklum balas melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 dan chatbot PLUS, P.U.T.R.I melalui Aplikasi PLUS.
PLUS berharap dengan peningkatan penghijrahan pembayaran tol menerusi RFID, yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh hari ini dan e-Dompet, akan membawa pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan menyeronokkan.
Untuk maklumat terperinci mengenai lokasi pemasangan tag Touch 'n Go RFID, pelanggan lebuh raya boleh melayari portal Touch 'n Go di http://www.touchngo.com.my atau memuat turun e-buku RFID di laman web rasmi PLUS, www.plus.com.my a dan platfom media sosial termasuk @PLUSTrafik Twitter, Facebook PLUS Malaysia serta Aplikasi PLUS. – DagangNews.com