RHB-Axiata wujudkan bank digital satu kerjasama ‘menang-menang’ | DagangNews Skip to main content

RHB-Axiata wujudkan bank digital satu kerjasama ‘menang-menang’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Jun - Kerjasama institusi perbankan, RHB Bank Berhad dan syarikat telekomunikasi, Axiata Group Berhad untuk mewujudkan sebuah bank digital bersama dilihat positif dan bersinergi. 

 

Ketua Penyelidikan di MIDF Research, Imran Yassin Md. Yusof yang positif terhadap kerjasama itu menjangkakan RHB berpotensi mencapai pelanggan yang luas dan lebih cepat, selain dapat menambah baik tawarannya kepada pelanggan sedia ada termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) 

 

"Kumpulan akan menawarkan kepakarannya mengenai perbankan dan pengetahuan kewangan, sementara Axiata menerusi Boost Holdings Sdn. Bhd. akan melibatkan aspek fintech. 

 

“Kumpulan juga dapat menembusi pangkalan pengguna Boost untuk mempromosi produk perbankan, yang membenarkannya untuk memasarkan kepada pelanggan yang lebih besar dan cepat, serta memanfaatkan penyelesaian fintech bagi menambah baik tawarannya kepada pelanggan sedia ada termasuk PKS,” jelas Imran Yassin dalam satu nota kajian hari ini.  

 

Dalam makluman RHB di Bursa Malaysia, kumpulan telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Axiata untuk meneroka peluang kerjasama yang dapat meningkatkan ekosistem pelanggan bersama dalam menawarkan penyelesaian digital, bersama-sama memohon lesen perbankan digital Bank Negara Malaysia (BNM) dan meneroka peluang lain yang difikirkan sesuai.

 

Dalam masa sama, RHB juga telah menandatangani perjanjian utama atau Heads of Agreement (HOA) dengan anak syarikat Axiata iaitu Boost bagi tujuan memohon lesen perbankan digital.

 

Baca : RHB, Axiata bergabung mohon lesen bank digital

 

Menerusi kerjasama itu, Boost bakal memiliki 60% daripada modal ekuiti perbankan digital, dan selebihnya dipegang oleh RHB, tertakluk kepada kelulusan BNM.

 

Minimum terbitan modal saham awal seperti mana dikehendaki oleh BNM adalah bernilai RM100 juta atau jumlah lain yang diperlukan.

 

Tambah Imran Yassin, butiran mengenai kerjasama itu masih belum jelas, tetapi beliau percaya kos pelaburan awal dijangka lebih kecil. 

 

Katanya, berdasarkan pemegangan ekuiti sebanyak 40% oleh RHB nanti, ini bermakna pelaburan awal yang mungkin diperuntukkan oleh kumpulan dalam sekitar RM40 juta. 

 

Sebagai rekod, RHB memperuntukkan sebanyak RM885.4 juta sebagai perbelanjaan operasi bagi suku pertama tahun kewangan 2021 (1QFY21).

 

“Kami berpendapat bahawa ini dapat dilihat sebagai usaha kumpulan untuk mempertahankan kedudukannya dengan meletakkan ‘sebelah kaki’ di dalam lesen bank digital yang dikeluarkan oleh BNM. 

 

“Secara teknikalnya, kumpulan tidak memerlukan sebuah lesen bank digital kerana lesen perbankannya yang sekarang membolehkannya memiliki rangkaian produk perbankan digital.

 

“Namun, kami percaya sekiranya bank digital akan membawa perubahan besar kepada ruang perbankan, maka sekurang-kurangnya kumpulan telah menjamin kedudukannya lebih awal,” jelas beliau lanjut.

 

Imran Yassin tidak melihat sebarang impak material ke atas perolehan RHB bagi tahun ini atau menjelang FY22.

 

Beliau percaya impak itu hanya boleh dilihat pada prestasi bank digital dan penerimaannya di Malaysia.

 

MIDF mengekalkan saranan ‘beli’ saham RHB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM5.90 sesaham. 

 

Sementara itu, penganalisis di Kenanga Research, Lim Khai Xhiang menggariskan tiga sebab kerjasama duo itu berpotensi memperoleh lesen bank digital. 

 

Pertama, Celcom ketika ini sememangnya menawarkan perkhidmatan kepada individu yang tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan utama seperti golongan B40 dan penduduk di kawasan pedalaman, jelas Khai Xhiang. 

 

Kedua, RHB dijangka memberikan manfaat kepada konsortium itu daripada kepakaran dan bimbingannya, sekali gus meyakinkan BNM bahawa mereka boleh beroperasi dengan sumber yang diperlukan. 

 

Ketiga, Axiata sudah mempunyai kerangka kerja untuk mengendalikan bank digital, tambah beliau lanjut.

 

“Tanpa lesen perbankan digital, Boost, sebuah platform e-dompet tidak dibenarkan untuk memberi pinjaman kepada pelanggan. Dengan lesen itu, ketika Boost dapat meraih pulangan daripada dana pelanggannya, kami menjangkakan bahawa bank digital itu kemungkinan menyediakan kemudahan simpanan khusus untuk mengumpulkan dana.

 

“Kami meramalkan bahawa Boost juga akan menyediakan kemudahan pembiayaan pelengkap di samping perkhidmatan e-dompetnya. 

 

“Sebagai sebuah platform e-dompet, Boost mempunyai maklumat berharga mengenai aliran tunai dan tingkah laku pelanggan dan pedagang, yang membolehkan mereka memberikan harga berdasarkan risiko dan produk diperibadikan. RHB kemungkinan akan memperoleh faedah yang serupa,” jelas Khai Xhiang lanjut. - DagangNews.com