RHB Investment kekal 'neutral' terhadap UOA Development | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal 'neutral' terhadap UOA Development

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Julai - RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap UOA Development Berhad pada harga sasaran (TP) RM1.71 sesaham. 

 

Firma itu berkata, pemaju hartanah itu akan membuat pelancaran projek baharu mengikut perancangan dan pada masa sama menyifatkan perniagaan makanan dan minuman (F&B) akan melengkapi projek hartanah kumpulan itu.

 

Firma itu juga menjangkakan, pelaburan hartanahnya akan memacu pendapatan pada suku akan datang, berdasarkan kadar penghunian yang lebih tinggi.

 

“Walaupun tunai bersihnya masih kukuh pada RM2.2 bilion namun mereka masih berdepan pelbagai risiko yang timbul daripada pilihan raya negeri akan datang.

 

"TP baharu kami kini berdasarkan diskaun 45% kepada pengiraan aset bersih dinilai semula (RNAV) daripada 40%,
dengan diskaun alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) 2% digunakan,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu menjangkakan pendapatan berulang daripada aset pejabat baharu kumpulan akan meningkat lagi pada suku akan datang.

 

“Ruang runcit baharu di United Point dan South Link (gabungan kawasan boleh disewa bersih kira-kira 230,000 kaki persegi) mempunyai kadar penghunian yang lebih tinggi iaitu lebih daripada 70% dan lebih daripada 50%.

 

“Pada suku pertama tahun ini, semua hartanah pelaburan kumpulan menyumbang RM74.6 juta kepada keuntungan bersih.

 

"Jualan hartanah baharu dan jualan belum dibil berjumlah RM124 juta dan RM226 juta,” katanya. - DagangNews.com