KUALA LUMPUR 11 Sept - Sektor pembuatan Malaysia dijangka berkembang maju, disokong oleh daya tahan industri berorientasikan eksport dan peningkatan prestasi perdagangan.
RHB Investment berkata, eksport produk elektronik dan elektrik (E&E) dijangka kekal teguh di tengah-tengah permintaan global yang sihat.
Katanya, aliran positif ini disokong peningkatan eksport E&E dalam ekonomi serantau dan pertumbuhan ketara dalam jualan semikonduktor global.
"Sebagai contoh, jualan semikonduktor global meningkat dengan ketara sebanyak 18.7% dari tahun ke tahun pada Julai 2024, dengan jualan bulan ke bulan meningkat untuk bulan keempat berturut-turut.
"Jualan dari tahun ke tahun meningkat di kawasan Amerika Syarikat (40.1%), China (19.5%) dan rantau Asia Pasifik (16.7%).
"Di samping itu, organisasi Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan pertumbuhan 16.0% dalam pasaran semikonduktor global, dirangsang oleh pertumbuhan sihat di rantau Amerika dan Asia Pasifik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 5.3% pada Julai 2024, dipacu pertumbuhan kukuh Sektor Pembuatan - DOSM
Firma penyelidikan itu berkata, prospek positif bagi sektor pembuatan kekal utuh didorong oleh landskap ekonomi global dan domestik yang bertambah baik, kitaran menaik teknologi global dan peningkatan pelaburan.
Katanya, pertumbuhan eksport yang berterusan dan jualan semikonduktor global yang teguh menyokong penilaian positif kami terhadap industri pembuatan Malaysia.
Momentum untuk import barangan modal dan perantaraan telah meningkat dalam cetakan terkini, menandakan keyakinan dan potensi pengembangan dalam aktiviti pembuatan
"Kami menjangkakan permintaan luaran dan dalaman akan memacu pertumbuhan sepanjang tahun ini.
"Kami menjangkakan peningkatan selanjutnya dalam aktiviti perdagangan dan pembuatan, ditambah dengan daya tahan yang berterusan dalam permintaan domestik daripada peningkatan perbelanjaan pengguna dan pelaburan," katanya.- DagangNews.com