RHB Investment unjur kerugian Sapura Energy mengecil pada 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur kerugian Sapura Energy mengecil pada 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - RHB Investment mengunjurkan kerugian Sapura Energy Berhad mengecil pada 2HFY24 selepas keputusan kewangan kumpulan itu pada 1HFY24 selaras dengan ramalan mereka.

 

Walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam kadar tempahannya, namun firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap keuntungan daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C).

 

Kumpulan itu sebelum ini mengumumkan kejayaan meraih kontrak perkhidmatan pengangkutan dan pemasangan (T&I) luar pesisir bernilai RM1.4 bilion di Angola, daripada Azule Energy Angola dan projek itu dijangka siap pada 4QFY24.

 

Kadar tempahan kumpulan itu meningkat 9% dari suku tahun ke suku tahun kepada RM6.3 bilion. Penambahan buku pesanan kekal sebagai salah satu cabaran terbesarnya, dengan akses terhad kepada jaminan bank dan modal kerja.

 

"Kumpulan itu sedang mencari projek baharu di Afrika, dan kawasan Mediterranean, Atlantik dan Asia Pasifik.

 

"Segmen penggerudian dijangka memberikan prestasi yang stabil kerana 10 daripada 11 pelantar berada di bawah kontrak sewa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM42.81 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai, 2023, berbanding kerugian bersih RM2.59 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

 

Syarikat minyak dan gas itu berkata prestasi lebih baik bagi suku kedua tahun kewangan 2024 FY24) itu disumbangkan oleh susut nilai lebih rendah, peningkatan bahagian keuntungan daripada usaha sama dan syarikat bersekutu selain perolehan  keuntungan pertukaran asing berikutan kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

Perolehan hasil turun kepada  RM1.14 bilion dalam suku di bawah kajian itu berbanding RM1.17 bilion sebelum ini, disebabkan oleh selesainya projek penggerudian pelantar bersepadu (IRDC) pada suku keempat tahun kewangan 2023 dalam segmen penggerudian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, awal bulan ini, Sapura Energy menerima pemberitahuan rasmi daripada Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) bahawa tempoh mereka dilanjutkan sehingga 10 Mac 2024.

 

"Kami mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 2 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com