RHB Investment unjur MyNews terus catat kerugian dalam tempoh jangka pendek | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur MyNews terus catat kerugian dalam tempoh jangka pendek

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Sept - MyNews Holdings Berhad diunjur terus catat kerugian dalam tempoh jangka pendek tetapi tidak akan bertambah buruk.

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu mampu menarik nafas lega untuk seketika memandangkan jenama CU mula mendapat perhatian daripada orang ramai.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sifat kompetitif industri dan perbelanjaan pengguna yang lemah kesan daripada tekanan inflasi akan memberi kesan kepada prestasi kumpulan pada masa hadapan.

 

"Pengurusan merancang untuk mempercepatkan pengembangan cawangannya dengan menyasarkan pembukaan lebih 100 kedai baharu pada FY24 walaupun berdepan kos operasi yang tinggi.

 

"Dari sudut positif, kumpulan itu terus konsisten dan mencatat pendapatan yang stabil berikutan usaha rasionalisasi perniagaan yang berjaya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu terus mencatatkan kerugian lebih besar bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23) iaitu RM2.16 juta berbanding RM1.45 juta disebabkan oleh kos jualan dan pengedaran yang lebih tinggi.

 

Hasil suku tahunan, bagaimanapun, meningkat sebanyak 9.16% kepada RM185.79 juta daripada RM170.20 juta, didorong oleh peningkatan dalam bilangan cawangan dan peningkatan dalam keseluruhan jualan dalam kedai.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir pada 31 Julai 2023 (9MFY23), kerugian bersih kumpulan mengecil kepada RM11.65 juta berbanding kerugian bersih RM19.54 juta yang dicatatkan tahun lepas, manakala pendapatan meningkat 20.71% kepada RM544.08 juta daripada RM450.73 juta.

 

RHB Investment berkata, walaupun mereka percaya CU akan membantu pemulihan kumpulan pada FY24 namun kadar pemulihan itu masih tidak jelas.

 

Katanya, mereka terus berhati-hati terhadap prospek kumpulan memandangkan nisbah risiko kepada ganjaran Mynews yang kurang menarik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu 54 sen sesaham berbanding 50 sen sebelum ini," katanya. - DagangNews.com