KUALA LUMPUR 17 Mac - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sarawak Oil Palms Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM6.05 berbanding RM6.35 sebelum ini selepas menyemak semula unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak -4.6 hingga 2.5%.
Firma itu menyifatkan, sebagai syarikat perladangan tulen di Malaysia dengan jualan hadapan yang minimum seharusnya memberi kelebihan kepada Sarawak Oil Palms terutama dalam persekitaran harga tinggi dan pengembangan segmen hiliran memberi dorongan kepada pertumbuhan.
Penganalisisnya, Hoe Lee Leng berkata, kumpulan menjangkakan harga minyak sawit mentah akan kekal tinggi pada separuh pertama 2022 sebelum menurun pada separuh kedua sekiranya musim penuaian berubah dan terdapat perubahan dalam mandat biodiesel di peringkat global.
"Oleh itu, ia tidak mengambil bahagian dalam sebarang jualan hadapan pada masa ini, tetapi ini mungkin berubah pada sebahagian akhir tahun ini.
"Jualan hadapan minimum yang dilakukan setakat ini, hanya 6,000 tan metrik dijual dengan harga sekitar RM3,800 satu tan metrik pada awal tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi tahun kewangan 2022 (FY22), kumpulan memberi panduan pertumbuhan tandan buah segar yang mendatar tahun ke tahun, di sebalik masalah kekurangan tenaga buruh dan pengeluaran Januari 2022 yang lebih rendah.
Ini disebabkan kiraan tandan hitam yang dijalankan baru-baru ini dan cuaca yang bertambah baik pada Mac.
Mengenai masalah tenaga buruh, Lee Leng berkata, Sarawak Oil Palms berharap kerajaan Malaysia akan menandatangani perjanjian dengan Indonesia tidak lama lagi supaya pengambilan pekerja boleh dibuat apabila sempadan dibuka 1 April ini.
"Bagi Sarawak khususnya, pengurusan berharap kerajaan negeri akan mula membenarkan pekerja dari Bangladesh untuk masuk tidak lama lagi, kerana kumpulan ujian pekerja Bangladesh telah berjaya setakat ini.
"Berdasarkan panduan mendatar ini, kami mengurangkan unjuran pertumbuhan tandan buah segar kepada sekitar -0.5% hingga 6.0% bagi FY22 hingga FY24 (daripada 1.3% hingga 5.1% sebelum ini)," jelasnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, ketidaktentuan harga juga adalah baik kepada margin segmen hiliran.
Katanya, bahagian penapisan Sarawak Oil Palms menunjukkan prestasi yang baik pada FY21, walaupun tiada pecahan diberikan.
"Ini dicapai dalam persekitaran harga yang semakin meningkat, dengan bahan mentah yang dibeli, diproses dan dijual 1 hingga 2 bulan kemudian memperoleh harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi, mengakibatkan pengembangan margin," katanya.
Beliau berkata, memandangkan kadar penggunaan hampir 90%, kumpulan sedang mengembangkan kapasiti penapisannya sebanyak 53% kepada 2,300 satu tan setiap hari pada kos RM40 juta.
"Kapasiti ini dijangka lengkap pada separuh kedua 2022 dan akan menghasilkan produk yang lebih berkualiti dan disesuaikan untuk pelanggannya. Kami telah mengaitkan pengembangan ini ke dalam ramalan kami," tambahnya. - DagangNews.com