RHB Research kekal saranan 'beli' untuk saham Inari Amertron, TP lebih rendah akibat kenaikan FFR | DagangNews Skip to main content

RHB Research kekal saranan 'beli' untuk saham Inari Amertron, TP lebih rendah akibat kenaikan FFR

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Inari Amertron pada harga sasaran (TP)  lebih rendah iaitu RM3.59 berbanding RM4.63 akibat kenaikan Kadar Dana Persekutuan (FFR) Amerika Syarikat (AS) sebanyak 25 mata asas.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun percaya, ia merupakan pembelian yang menarik dalam saham teknologi kerana ia disokong oleh potensi pendapatan masa hadapan dalam 5G dan peningkatan dalam segmen optoelektronik.

 

Katanya, meskipun berlakunya peningkatan FFR namun pihaknya kekal positif bahawa senario inflasi yang tinggi tetap terkawal kerana pakar ekonomi melihat kadar itu adalah lebih rendah berbanding 2018-2019.

 

"Akibat kenaikan FFR pertama dan unjuran FFR kami kepada 1.75% hingga 2% berbanding 1% pada penghujung 2022 dan 2.25 hingga 2.5% daripada 1.5% untuk penghujung 2023, kami mengambil peluang untuk meletakkan jangkaan baharu untuk nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi CY22F Inari kepada 31x berbanding 40x.

 

"Kami meletakkan harga sasaran (TP) RM3.59 selepas mengenakan 2% premium ESG dengan markah ESG Inari sebanyak 3.10," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan harga saham sebanyak 24% adalah disebabkan oleh inflasi yang tinggi namun jangkaan terhadap hasil sektor itu akan meningkat.

 

Katanya, bagaimanapun dengan peningkatan FFR dan polisi yang agresif diperkenalkan, mereka percaya ia adalah peluang terbaik untuk pelabur untuk mengumpulkan saham-saham sektor teknologi di FBM KLCI

 

"Jangkaan pertumbuhan sektor itu dilihat daripada kemajuan struktur 5G, peningkatan permintaan untuk cip semikonduktor dan penyataan imbangan yang sangat kukuh," katanya. - DagangNews.com