RHB Research masih 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi | DagangNews Skip to main content

RHB Research masih 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Okt - RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi berikutan masih terdapat cabaran dari segi pengewangan 5G. 

 

Menurut penganalisisnya, Jeffrey Tan, walaupun kadar borong dilihat lebih akomodatif tetapi ia menyebabkan kecairan pendapatan dalam tempoh jangka sederhana.

 

"Dengan mengandaikan langganan saham dibiayai sepenuhnya menerusi hutang, kami menganggarkan gearan bersih untuk Telekom Malaysia Bhd. (TM), Digi.com Bhd. dan Axiata Group Bhd. akan meningkat sedikit daripada 0.68x, 8.2x dan 1.20x kepada masing-masing 0.72x, 8.55x dan 1.21x.

 

"Hutang bersih/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) akan meningkat daripada 1.07x hingga 2.48x kepada 1.13x kepada 2.49x.

 

"Bagaimanapun, berdasarkan impak kepada harga sasaran (TP) adalah minimum sekitar 0.4 hingga 0.7%, selepas mengambil kira hutang bersih yang lebih tinggi, kami tidak membuat perubahan kepada penarafan dan TP kami buat masa ini," katanya dalam nota kajian.

 

Firma itu setakat ini mengekalkan saranan 'beli' terhadap TM dan Axiata dengan TP masing-masing pada RM7.40 dan RM3.73 manakala 'neutral' terhadap Digi dengan TP RM3.65 sesaham.

 

Pada Ahad, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, semua enam syarikat telco utama negara telah menandatangani perjanjian penyediaan akses 5G disediakan Digital Nasional Bhd. (DNB)

 

Menurutnya, Maxis Bhd., U Mobile, Celcom Axiata, Digi, YTL Communications dan TM merupakan syarikat telco yang terlibat dalam perjanjian terbabit.

 

Sebelum ini, empat daripada enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) negara telah melaksanakan perjanjian langganan saham untuk mengambil alih kepentingan ekuiti dalam pembekal perkhidmatan 5G DNB dengan Celcom Axiata dan Digi masing-masing mengambil 12.5% , manakala YTL Communications dan TM telah mendaftar masing-masing 20%. Baki dua penyedia perkhidmatan, Maxis dan U-Mobile telah memilih untuk tidak terlibat.

 

Tan berkata, DNB menjangkakan MNO akan memulakan pelancaran perkhidmatan 5G bulan ini dengan perjanjian akses akan dilaksanakan tidak lama lagi.

 

"Kami dapati TM, Digi dan Celcom telah menjalankan ujian integrasi rangkaian dengan DNB sebagai sebahagian daripada permintaan akses," jelasnya.

 

Setakat ini, liputan 5G DNB telah mencecah 33% merentasi Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan sebahagian Lembah Klang, Johor dan Penang berbanding sasaran 40% menjelang akhir tahun ini. - DagangNews.com