RHB Research mulakan liputan terhadap ELK-Desa Resources dengan saranan 'neutral', TP RM1.30 | DagangNews Skip to main content

RHB Research mulakan liputan terhadap ELK-Desa Resources dengan saranan 'neutral', TP RM1.30

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - RHB Research memulakan liputan terhadap ELK-Desa Resources Berhad dengan saranan 'neutral' pada harga sasaran (TP) RM1.30 dan menjangkakan pengurusan akan berusaha mengimbangi perkembangan serta perlindungan aset bekualiti.

 

Firma itu juga menjangkakan, kumpulan itu akan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 12% antara FY22-25F berdasarkan pertumbuhan portfolio sewa beli sederhana dan kemerosotan nilai yang berkurangan.

 

Katanya, pengurusan memberi bayangan bahawa kadar pemulihan ke tahap sebelum pandemik adalah perlahan dan mereka sedang berusaha mengimbangi pengembangan portfolio.

 

"Risiko utama yang dihadapi mereka termasuk tekanan inflasi yang akan menganggu pretasi segmen sewa beli.

 

"Bagaimanapun, peningkatan populariti pengedar kereta terpakai digital seperti Carsome boleh bertindak sebagai pemangkin untuk pertumbuhan pada masa akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, segmen perabot kumpulan itu berkembang positif sejak bermulanya pandemik dengan budaya bekerja dari rumah semakin berkembang.

 

"Kumpulan itu menjangkakan permintaan untuk segmen itu akan dikekalkan namun tekanan kos bahan mentah serta peningkatan kos operasi boleh menjejaskan segmen itu," katanya.

 

Firma itu berkata, pelan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memberi fokus kepada menambah baik proses dalaman seperti proses digitalisasi, pemasangan panel solar untuk kegunaan pejabat dan mempelbagaikan perniagaan. - DagangNews.com