RHB Research unjur CAGR lima tahun Vestland berkembang sebanyak 43.5% selaras pertambahan projek baharu | DagangNews Skip to main content

RHB Research unjur CAGR lima tahun Vestland berkembang sebanyak 43.5% selaras pertambahan projek baharu

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - RHB Research mengunjurkan pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan Vestland Berhad untuk lima tahun sebanyak 43.5% seiring dengan pertambahan projek yang lebih kukuh.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu seharusnya dapat mengekalkan pelanggan sedia ada selain mendapatkan pelanggan baharu berdasarkan kemampuan mereka menyediakan perkhidmatan pembinaan yang menghasilkan margin keuntungan yang lebih baik.

 

"Margin keuntungan bersih berulang dijangka berada antara 8.1% hingga 8.5% pada FY23-24, dengan mengambil kira unjuran penambahan semula tempahan tahunan sebanyak RM750 juta untuk tempoh tersebut," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu mempunyai tempahan projek bernilai RM947.4 juta pada 28 November 2022 diterjemahkan kepada nisbah perlindungan hasil sebanyak 5.5x berdasarkan pendapatan FY21.

 

Katanya, sekitar 69% daripada jumlah tempahan tertunggaknya terdiri daripada projek reka bentuk dan binaan margin tinggi (c.3-5ppts lebih tinggi daripada projek binaan sahaja dari segi margin keuntungan kasar), diikuti oleh segmen binaan (23%) dan kerja-kerja kejuruteraan awam (8%).

 

Firma itu berkata, prospek penambahan kerja disokong oleh buku tender kumpulan sebanyak RM2.1 bilion (anggaran kadar kejayaan 30- 35%) seperti di LPD, di mana 55.2% terdiri daripada projek reka bentuk & binaan termasuk hartanah perindustrian seperti gudang untuk Armani Group dan Sime Darby.

 

Firma itu menetapkan harga warjar (FV) 37 sen terhadap saham kumpulan itu yang akan disenarai di Pasaran ACE pada 31 Januari 2023.

 

"Kumpulan itu bagaimanapun berdepan beberapa risiko termasuk kebergantungan terhadap tenaga kerja asing dan harga tidak menetu terhadap bahan binaan.

 

"Selain itu mereka juga berhadapan cabaran gangguan oeprasi akibat COVID-19 dan kehilangan kakitangan pengurusan utama," katanya. - DagangNews.com