Pengarah Pemasaran Richiamo Coffee, Adam Kassim (kiri) menyerahkan sumbangan kepada Tabung Cakna OKU UiTM kepada Dr. Roziah sempena pembukaan cawangan ke-70 di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajudin UiTM Shah Alam, hari ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com
SHAH ALAM 4 Jan - Pemilik rangkaian kedai kopi premium, Richiamo Coffee Sdn. Bhd., membuka cawangannya yang ke-70 di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Pengarah Urusan Kumpulan Richiamo Coffee, Muhammad Zamry Abu Samah berkata, cawangan ke-70 itu dikendalikan oleh AAA Coffee Shop, syarikat sama yang mengendalikan dua cawangan lain di dalam kampus UiTM Puncak Alam.
“Bagi pihak Richiamo Coffee saya berterima kasih di atas peluang dan kesempatan yang diberikan oleh UiTM yang membenarkan kami bertapak di sini.
"Selain dua cawangan di Kampus UiTM Puncak Alam, Richiamo Coffee juga telah beroperasi di Hospital UiTM di kampus tersebut dan menjadikan tiga cawangan kami di Kampus UiTM Puncak Alam baru sahaja beroperasi bulan Oktober,November dan dua minggu lepas.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada majlis perasmian itu, Richiamo Coffee melalui AAA Coffee Shop turut menyerahkan sumbangan kepada Tabung Cakna Orang Kurang Upaya (OKU) UiTM yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM, Prof Dr Roziah Mohd. Janor
Muhammad Zamry berkata, pihaknya merancang untuk membuka beberapa lagi cawangan baharu pada tahun 2022 selain mewujudkan kerjasama dengan UiTM bagi memperkasakan golongan OKU di institusi pengajian terbabit.
“Projek ini merupakan yang pertama seumpamanya di institusi pengajian tinggi di negara ini untuk golongan OKU di mana kami membuka tiga cawangan Richiamo Coffee dengan kerjasama Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) sebagai rakan strategik rasmi,” katanya.
Muhammad Zamry berkata0, pihaknya telah berbincang dengan UPO dan bersetuju untuk menyediakan 40% pekerja sepenuh masa atau separuh masa dari golongan OKU dan B40.
Beliau berkata, modul latihan telah diwujudkan oleh UPO UiTM bagi mempersiapkan pekerja-pekerja bukan OKU menerima rakan OKU bekerja di bawah satu bumbung.
Katanya, latihan percuma akan diberikan kepada pekerja OKU dan B40 di semua cawangan di Kampus UiTM itu selain berpeluang untuk mengembangkan lagi karier di seluruh cawangan Richiamo Coffee di seluruh negara.
Malah jika kerjasama ini berjaya ia boleh membuka peluang melalui latihan keusahawan mahasiswa OKU UiTM sebagai pengusaha dan pemilik Richiamo Coffee di masa depan. - DagangNews.com