Ringgit cecah 4.40 berbanding dolar pada 5 Ogos 2024 | DagangNews Skip to main content

Ringgit cecah 4.40 berbanding dolar pada 5 Ogos 2024

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Ringgit Malaysia mencecah 4.4000/4150 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pukul 11.32 pagi hari ini.

 

Terdahulu pada pukul 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4930/5010 berbanding dolar AS daripada 4.4945/4995 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

 

Prestasi itu merupakan kenaikan kukuh berterusan ringgit berbanding dolar AS selama 11 hari berturut-turut.

 

 

Paras tertinggi sebelum ini adalah pada 4.4000/4025 yang dicatatkan pada 14 April 2023.

 

Ketua penyelidikan pertukaran asing Maybank Investment Bank (Maybank IB) Saktiandi Supaat menunjukkan bahawa ringgit berkemungkinan mengejar kedudukannya yang tertinggal kerana penilaiannya yang rendah.

 

“Ringgit berkemungkinan sedang kejar kembali kerana ia merupakan salah satu mata wang paling berprestasi rendah baru-baru ini, dan ia telah dikurangkan nilainya sejak sekian lama,” kata Saktiandi.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hampiri RM4.55 berbanding dolar AS, MIDF Research yakin Ringgit terus kukuh kepada RM4.43 akhir 2024

 

Antara faktor yang dikatakan menyumbang kepada pengukuhan mata wang Malaysia ialah aliran masuk asing yang berterusan ke pasaran bon tempatan, penghantaran balik dana dari luar negara oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, serta peningkatan eksport, yang meningkatkan permintaan terhadap ringgit.  

 

 

Dalam nota penyelidikannya, MIDF Research yakin Ringgit akan terus mendapat keuntungan daripada perbezaan faedah yang semakin mengecil kerana Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), seiring dengan kawalan inflasi yang kekal stabil di Malaysia.

 

Justeru, MIDF Research optimis Ringgit akan meningkat ke arah sasaran akhir sebanyak RM4.43 berbanding AS$1. - DagangNews.com