Ringgit dibuka rendah pagi ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka rendah pagi ini


ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 


KUALA LUMPUR 28 Okt. - Ringgit pagi ini dibuka rendah pada RM4.1650/1720 berbanding dolar AS disebabkan ketidaktentuan dalam pilihan raya presiden AS dan juga peningkatan kes COVID-19. 

Semalam, mata wang tempatan itu ditutup pada RM4.1640/4.1680 berbanding dolar AS.  

Menurut AmBank Research, ringgit semalam mencecah paras terendah bulan ini, susut 0.11% kepada RM4.1680 di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19. 

Katanya, dolar AS juga semakin melemah apabila jatuh 0.11% selepas pelabur mengambil keuntungan pada kenaikan hari sebelumnya dan kebimbangan terhadap jangkitan wabak itu serta pilihan raya presiden AS. 

"Indeks FBM KLCI pula mencapai paras tertinggi minggu ini menokok 0.38% kepada 1,500.4 mata," katanya dalam nota kajian hari ini. 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan RM4.1546 dan RM4.1602 manakala paras rintangan pada RM4.1689 dan RM4.1729. 

Berbanding mata utama lain, ringgit menyusut 0.04% kepada RM5.424 berbanding pound sterling dan 0.03% kepada RM2.968 berbanding dolar Australia. 

"Tetapi ringgit mengukuh 0.05% kepada RM4.920 berbanding euro. Bagi peringkat serantau, ringgit menyusut 0.05% kepada RM3.063 berbanding dolar Singapura," katanya.  

Di peringkat global, Ambank Research berkata, harga minyak Brent naik 1.83% kepada AS$41.20 setong manakala West Texas Intermediate meningkat 2.62% kepada AS$39.57 setong. 

Paras harga minyak ini kali terakhir berada pada tahap tiga minggu lalu apabila syarikat menutup pengeluaran minyak disebabkan taufan semakin menghampiri Teluk Mexico. 

"Selain itu, peningkatan kes COVID-19 dan bekalan minyak Libya akan terus membataskan keuntungan syarikat-syarikat minyak," katanya. - DagangNews.com