Ringgit dibuka tinggi menjelang perjumpaan BNM  | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka tinggi menjelang perjumpaan BNM 

KUALA LUMPUR 10 Sept. - Nilai mata wang negara dibuka lebih tinggi menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang diadakan hari ini. 

Pada pukul 9.10 pagi, ringgit mencecah paras 4.1630/1680, meningkat daripada  4.1700/1740.

Ketua strategi pasaran global AxiCorp, Stephen Innes berkata, pelabur tempatan mungkin berhenti seketika menunggu keputusan BNM berhubung kadar dasar semalaman (OPR), hari ini.

Jelasnya, ia merupakan sesuatu yang biasa. 

“Bagaimanapun, melihatkan risiko global yang bertambah baik dan harga minyak mentah disokong kenaikan pasaran saham semalam, mata wang negara dapat diniagakan dengan kadar yang lebih baik,” katanya kepada Bernama. 

Ketika ini, minyak mentah Brent jatuh 0.49% kepada AS$40.59 setong.

MPC bakal mengadakan perjumpaan pada hari ini sebelum mengadakan mesyuarat terakhir pada 3 November depan. 

Mesyuarat itu juga dipercayai menentukan sama ada OPR dikekalkan atau dikurangkan. 

Baca : OPR: Potong atau kekal 1.75%?

Dalam pada itu, ringgit rata-rata diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain. 

Ringgit merosot berbanding pound British kepada 5.4086/4163 daripada 5.3985/4053 semalam.

Bagi tempoh sama, ringgit turut menurun berbanding euro kepada 4.9165/9228 berbanding 4.9060/9124.

Mata wang itu juga merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0454/0501 daripada 3.0447/0487.

Tetapi, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.9203/9254 daripada 3.9314/9363. - DagangNews.com