Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 21 Dis. - Ringgit memulakan dagangan pagi ini dengan dibuka rendah pada RM4.0430 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah mencatat prestasi yang baik pada minggu lalu.
Pada Jumaat, pada wang itu ditutup pada pada RM4.0375/0415 berbanding dolar AS daripada RM4.0320/0370 sewaktu ditutup pada Khamis.
HLIB Research berkata, dolar AS pada Jumaat kembali meningkat setelah 4 hari mengalami kerugian apabila meningkatnya laporan terhadap perkembangan pakej rangsangan fiskal bagi menangani pandemik COVID-19.
Namun, firma itu mengekalkan pandangan mengukuh kepada ringgit pada minggu ini.
"Apabila ia melepasi paras sokongan RM4.03 berbanding dolar AS pada minggu lalu, tidak mustahil ringgit boleh diniagakan pada paras RM4.00 berbanding dolar AS," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam dagangan pagi ini, harga minyak merosot yang menyaksikan Brent susut 97 sen atau 1.9% kepada AS$51.29 setong selepas mencecah paras tertinggi sejak Mac pada Jumaat lalu, lapor Reuters.
West Texas Intermediate juga susut 83 sen atau 1.7% kepada AS$48.27 setong selepas menokok 1.5% kepada paras tertinggi sejak Februari.
Kebimbangan terhadap lonjakan jangkitan baharu yang cepat merebak di United Kingdom akan menyebabkan langkah sekatan dibuat dengan ketat dan menghentikan pemulihan ekonomi serta permintaan bahan api di negara-negara Eropah lain.
Sementara itu, menurut MIDF Research, prestasi ringgit pada minggu lalu adalah lebih baik dengan mengukuh kepada RM4.040 berbanding dolar AS, 2% lebih tinggi daripada RM4.050 pada minggu sebelumnya.
Katanya, selain didorong kelemahan dolar AS, ringgit mendapat manfaat daripada kenaikan berterusan harga minyak global.
"Brent pada minggu lalu, melonjak 1.5% kepada AS$52.26 setong setakat Jumaat (berbanding minggu sebelumnya, AS$51.50 setong), kembali semula ke paras pada Februari 2020," katanya dalam laporan mingguan mata wang hari ini.
Dolar AS merosot ke paras 2 tahun terendah selepas Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedahnya dalam mesyuaratnya minggu lalu.
Ia menyaksikan indeks dolar AS mengakhiri dagangan pada Jumaat dengan 1.1% lebih lemah berbanding minggu sebelumnya, jatuh kepada 90.02 (daripada 90.98 sebelum itu), yang mana ia merupakan paras terendah April 2018.
"Apabila banyak negara sudah mula meluluskan dan menggunakan vaksin COVID-19, secara tidak langsung meningkatkan risiko kepada aset-aset berisiko," katanya. - DagangNews.com