Ringgit merosot dalam dagangan pagi | DagangNews Skip to main content

Ringgit merosot dalam dagangan pagi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Mac - Ringgit terus merosot dalam dagangan pagi ini kepada RM4.0530/0580 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

HLIB Research berkata, lonjakan hasil perbendaharaan AS telah mencetuskan perubahan mengenai jangkaan inflasi yang mengganggu pasaran. 

 

Katanya, keadaan ini serba sedikit memberi kesan kepada nilai ringgit. 

 

"Kami menjangkakan ringgit akan kekal neutral dalam dagangan minggu ini pada julat antara RM4.04 hingga RM4.07 berbanding dolar AS terutama menjelang mesyuarat dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka 4 Mac ini. 

 

"Tetapi, kami tidak menjangkakan sebarang perubahan bagi kadar dasar semalaman (OPR) dan pendirian dasar monetari bank pusat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada Jumaat, ringgit susut kepada RM4.0450/0443 berbanding dolar AS daripada RM4.0380/0410 sewaktu urus niaga ditutup pada Khamis.

 

Seorang penganalisis berkata, laporan prestasi kewangan Petronas yang diumumkan pada Jumaat dengan syarikat minyak dan gas negara itu mencatat kerugian selepas cukai RM21.0 bilion bagi tahun kewangan 2020, terbukti menjejaskan sentimen terhadap ringgit.

 

Sementara itu, menurut laporan aliran dana kewangan mingguan MIDF Research, bagi minggu berakhir 26 Februari, ringgit merosot ekoran meningkatnya jangkaan terhadap kadar lebih cepat oleh Rizab Persekutuan AS untuk menahan kenaikan inflasi menyebabkan kecenderungan pelabur terhadap aset berisiko lemah.

 

"Ini menyebabkan permintaan ringgit adalah lemah dan susut 0.2% kepada RM4.050 berbanding dolar AS. 

 

"Ringgit merekodkan kelemahan di sebalik peningkatan harga minyak, yang mana Brent menokok 5.1% untuk mengakhiri dagangan pada AS$66.13 setong pada Jumaat (berbanding minggu sebelum itu, AS$62.91 setong)," katanya. - DagangNews.com