Ringgit terus melemah berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit terus melemah berbanding dolar AS

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Pertukaran mata wang tempatan dengan dolar Amerika Syarikat (AS) terus menonjolkan prestasi lemah, apabila dibuka lebih rendah pada pagi ini. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi ini, ringgit menyusut kepada RM4.1330/1360 berbanding dolar AS, daripada paras yang ditutup semalam, RM4.1120/1150. 

 

HLIB Research kekal neutral terhadap kedua-dua pertukaran mata wang negara berkenaan. 

 

“Dolar AS dan ringgit menokok 0.2% kepada RM4.1235 pada Selasa. Kami kekal neutral terhadap pertukaran itu, menyasarkan dagangan dalam julat RM4.10 hingga RM4.14.

 

“(Ini) memandangkan dolar AS mungkin akan disokong oleh sentimen risiko sementara pasaran ‘berhati-hati’ untuk satu lagi pusingan pembidaan perbendaharaan,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Semalam, dolar AS melonjak semula seiring peningkatan dalam perbendaharaan, disokong oleh permintaan terhadap aset lindung nilai. 

 

Jelas HLIB, indeks dolar AS ‘melompat’ 0.7% kepada 92.34 dan hanya yen Jepun sahaja mengukuh berbanding mata wang berkenaan. 

 

Hari ini, perhatian akan ‘tertancap’ kepada Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Powell dan Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen yang akan memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat mengenai laporan Akta CARES setiap suku tahun kepada Kongres.

 

“Dolar AS melonjak sepanjang hari Selasa, sebelum ditutup dalam lingkungan 92.34. Dengan pasaran yang tidak menentu, kita mungkin akan melihat dolar AS meningkat, menghampiri paras bulanan tertingginya iaitu 92.50.

 

“Pergerakan kadar hasil masih menjadi faktor risiko kepada dolar AS. Para pelabur akan memerhati dengan dekat keterangan kepada Kongres oleh Yellen berhubung cadangan suntikan pakej rangsangan. 

 

“Kami menjangkakan julat 91.40 hingga 92.50 bagi beberapa sesi akan datang,” jelas HLIB lagi. - DagangNews.com