Risau PKP 2.0, pasaran jatuh 30 mata minggu lalu  | DagangNews Skip to main content

Risau PKP 2.0, pasaran jatuh 30 mata minggu lalu 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. -  Tanda tanya sama ada kerajaan akan melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan indeks utama FBM KLCI merosot 1.9% atau 30.3 mata bagi minggu berakhir 22 Januari 2021, menurut CGS-CIMB.

 

Kebimbangan terhadap jangkitan kes COVID-19 yang semakin meningkat akhirnya menyaksikan kerajaan pada 19 Januari lalu mengumumkan lanjutan PKP di 6 negeri menjadikan keseluruhan negara berada dalam sekatan itu kecuali Sarawak, mulai 22 Januari hingga 4 Februari.  

 

Bagi minggu tersebut, firma penyelidikan itu mendapati, jumlah purata dagangan harian jatuh 4.6% kepada 6.75 juta unit manakala nilai dagangan harian turut susut 11.7% kepada RM4.57 bilion ekoran meningkatnya kebimbangan impak PKP 2.0 dan hasil korporat. 

 

"Jumlah nilai dagangan bagi pelabur runcit meningkat 1.4% kepada 38% minggu lalu, diikuti pelabur institusi, 26.6% (susut 0.6% minggu ke minggu), dagangan hak milik susut 1.1% kepada 16.6% dan penama pula meningkat 0.3% kepada 18.8%," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kaunter-kaunter berkaitan tenaga susut sehingga 2.9% diikuti perladangan (-1.9%), pengguna (-1.8%) dan penjagaan kesihatan (-1.6%) sepanjang minggu lalu. 

 

Bagaimanapun, sektor teknologi dan telekomunikasi merekodkan keuntungan dengan masing-masing meningkat 6.8% dan 1.6%. 

 

Secara keseluruhan, pada minggu lalu, 8 daripada 13 indeks sektor merekodkan pulangan negatif minggu ke minggu. 

 

Menurut CGS-CIMB, pelabur asing kembali muncul sebagai penjual bersih paling banyak dalam ekuiti tempatan ekoran aktiviti pengambilan untung disebabkan kebimbangan PKP 2.0. 

 

"Ia menyaksikan pelabur asing menjual RM288.4 juta ekuiti selepas membeli lebih banyak pada permulaan awal tahun. Setakat 22 Januari, mereka sudah menjual RM299.1 juta ekuiti. 

 

"Aktiviti pengambilan untung pelabur asing ini banyak tertumpu kepada saham-saham berkaitan perbankan dan telekomunikasi iaitu CIMB, Maybank, Serba Dinamik, MISC dan Telekom Malaysia," katanya. 

 

Pelabur institusi pula kekal menjadi penjual bersih bagi minggu ketujuh berturut-turut dan menjual sebanyak RM208.4 juta ekuiti minggu lalu, menjadikan keseluruhan berjumlah RM1.2 bilion setakat 22 Januari lalu. 

 

"Dalam pada itu, momentum pembelian ekuiti pelabur runcit melonjak sehingga 854% minggu ke minggu kepada RM425 juta dan menjadi pembeli terbesar ekuiti minggu lalu berikutan aktiviti tawar-menawar di sebalik sentimen pasaran yang lemah. 

 

"Setakat akhir minggu berkenaan, aliran pembelian mereka berjumlah RM1.2 bilion dengan saham tumpuan mereka kepada Tenaga, Public Bank dan Serba Dinamik," katanya. - DagangNews.com