Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$113.5 bilion pada 29 Disember 2023 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$113.5 bilion pada 29 Disember 2023

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Jan - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat 0.6% kepada AS$113.5 bilion pada 29 Disember 2023 berbanding AS$112.8 bilion setakat 15 Disember lalu.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, bank pusat itu berkata, paras rizab tersebut memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan satu kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

Komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (AS$100.0 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.8 bilion), emas (AS$2.6 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.8 bilion).

 

Menurut BNM, jumlah aset berjumlah RM630.97 bilion, yang terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab lain, termasuk SDR (RM520.75 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.2 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.2 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM67.6 bilion).

 

BNM berkata modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM186.7 bilion), mata wang dalam edaran (RM161.8 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM176.5 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM3.5 bilion), deposit lain (RM40 bilion), kertas Bank Negara (RM29.7 bilion), peruntukan SDR (RM29.7 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.27 bilion). - DagangNews.com