Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$114.6 bilion pada 30 Disember 2022 | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM meningkat kepada AS$114.6 bilion pada 30 Disember 2022

KUALA LUMPUR 9 Jan - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat kepada AS$114.6 bilion (RM501.43 bilion) pada 30 Disember 2022 daripada AS$110.3 bilion (RM482.62) dicatatkan pada 15 Disember 2022.

 

Menurut bank pusat itu dalam kenyataan hari ini,  paras rizab ini telah mengambil kira perubahan suku tahunan bagi penilaian semula pertukaran asing.

 

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 5.2 bulan import barangan dan perkhidmatan serta 1.0 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” katanya.

 

Katanya komponen utama rizab antarabangsa adalah rizab mata wang asing (US$102.6 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion (RM6.13 bilion)), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$5.7 bilion (RM24.94 bilion)), emas (AS$2.3 bilion (RM10.06 bilion)) dan aset rizab lain (AS$2.6 bilion (RM11.38 bilion)).

 

Aset tersebut  terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM503.29 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.82 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.94 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.69 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) serta aset-aset lain (RM72.06 bilion).

 

Menurut BNM, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta),  rizab  (RM153.10 bilion), mata wang dalam edaran (RM162.07 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM221.89 bilion), deposit kerajaan Persekutuan (RM5.22 bilion), deposit lain (RM37.29 bilion), kertas Bank Negara (RM6.65 bilion), peruntukan SDR (RM28.21 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM4.40 bilion). - DagangNews.com