Rizab antarabangsa BNM naik kepada AS$105.3 bilion | DagangNews Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM naik kepada AS$105.3 bilion

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Dis. - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan nilai AS$105.3 bilion setakat 30 November, kata bank pusat itu hari ini. 

 

Angka itu melonjak daripada AS$104.9 bilion setakat 13 November 2020. 

 

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan 1.2 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek,” kata BNM dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Berdasarkan jadual aset dan liabiliti yang disertakan bersama-sama kenyataan itu, antara kesemua lima komponen rizab antarabangsa, rizab mata wang asing mencatatkan angka tertinggi. 

 

Komponen itu melonjak kepada AS$97.9 bilion setakat tempoh sama berbanding AS$95.2 setakat 13 November lalu. 

 

Ini diikuti oleh lain-lain aset rizab (AS$2.5 bilion), emas (AS$2.4 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion) dan hak pengeluaran khas (AS$1.1 bilion). - DagangNews.com