KUALA LUMPUR 7 Sept - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia susut 2.4% kepada AS$108.2 bilion pada 30 Ogos, daripada AS$110.9 bilion pada 15 Ogos.
Dalam satu kenyataan, bank pusat itu berkata kedudukan rizab itu mencukupi untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan dan ialah 1.1 kali ganda jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
Menurut Bank Negara, rizab mata wang asing negara merosot 2.4% kepada AS$96.1 bilion pada 30 Ogos daripada AS$98.5 bilion pada 15 Ogos.
Aset rizab lain juga turun kepada AS$2.8 bilion pada 30 Ogos daripada AS$3.1 bilion pada 15 Ogos.
Bagaimanapun, komponen utama rizab antarabangsa yang lain seperti kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa kekal pada AS$1.3 bilion dalam tempoh yang sama, manakala hak pengeluaran khas (SDR) berjumlah AS$5.7 bilion dan emas pada AS$2.3 bilion.
Aset tersebut terdiri daripada emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM476.5 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM12.12 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM23.64 bilion), tanah dan bangunan (RM4.14 bilion) dan lain-lain aset (RM34.18 bilion).
Sementara itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM161.65 bilion), mata wang dalam edaran (RM157.23 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM165.97 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM12. 96 bilion), deposit lain (RM12.06 bilion), kertas Bank Negara (RM8.26 bilion), peruntukan SDR (RM28.25 bilion) dan liabiliti lain (RM4.1 bilion). - DagangNews.com