Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Mac - Kerajaan bakal menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi program bantuan barangan dapur melalui inisiatif pembelian tanpa tunai.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha tersebut adalah bagi mengurangkan kos sara hidup terutama golongan miskin yang tinggal di bandar.
"Program ini dijangka akan memanfaatkan 300,000 isi rumah miskin di bandar-bandar utama di seluruh negara untuk membolehkan mereka membeli barangan makanan asas.
"Mengenai kesihatan rakyat pula, inisiatif mySalam berhubung COVID-19 telah memanfaatkan lebih 70,000 golongan B40 dengan jumlah bayaran RM40 juta.
"Bagi menambah baik skim ini, golongan B40 yang dibenarkan untuk dikuarantin di rumah atas sebab COVID-19 layak untuk menerima manfaat bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari selama maksimum 14 hari tertakluk kepada pengesahan oleh Pegawai Perubatan," katanya ketika membentangkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) hari ini.
Baca : PM umum 20 inisiatif di bawah Pemerkasa bernilai RM20 bilion
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejumlah RM30 juta akan diperuntukkan bagi meluaskan perkhidmatan kesihatan rakyat ke seluruh negara.
Usaha berkenaan akan digerakkan melalui program KPT PRIHATIN, KOMUNITI SEJAHTERA (KRIS) dengan kerjasama kumpulan pakar perubatan dari Hospital Pengajar Universiti.
"Seterusnya, dalam melaksanakan proses verifikasi penerima bantuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melantik seramai 2,500 orang pegawai tambahan di bawah inisiatif MySTEP bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan," ujar beliau. - DagangNews.com