RM20 juta kos baiki cerun, Bukit Larut masih ditutup atas faktor keselamatan | DagangNews Skip to main content

RM20 juta kos baiki cerun, Bukit Larut masih ditutup atas faktor keselamatan

Kawasan peranginan Bukit Larut di Taiping.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 12 Jan - Sebanyak RM20 juta telah dibelanjakan bagi kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan susulan tanah runtuh di pusat peranginan Bukit Larut di sini sejak tahun 2020.

 

Ketika ini bukit kawasan peranginan itu masih ditutup kecuali aktiviti mendaki (hiking), berjalan kaki dan berjoging masih dibenarkan tetapi atas risiko pengunjung sendiri.

 

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, kawasan pelancongan itu masih ditutup pada kenderaan termasuk untuk menginap.

 

“Masalah yang berlaku di Bukit Larut ialah setiap kali kerja-kerja pembaikan siap di satu kawasan, ada pula kawasan lain membabitkan lerengnya akan runtuh dan sebagainya.


 

Runtuhan
Kejadian jalan runtuh di Bukit Larut pada Januari tahun lalu.


 

“Jadi, sebagai langkah menjaga keselamatan orang awam kerajaan Perak memutuskan lokasi ini ditutup sementara,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pakej Rail Tourism di Laman Budaya Galeri Perbandaran Taiping.

 

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Zain Mat Taha dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir.

 

Bukit Larut ditutup kepada orang awam selepas ia mengalami beberapa siri kejadian cerun atau tanah runtuh sejak November 2019.


 

Runtuhan


 

Semasa Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Disember lepas, Sze Yee memaklumkan bahawa kerja pembaikan cerun di laluan itu masih giat dilaksanakan.

 

Bukit Larut hanya akan boleh dibuka semula selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja pembaikan serta penyelenggaraan jalan serta cerun bukit yang perlu diperbaiki. - DagangNews.com