RM21 juta untuk Bakul Prihatin Negara dengan kolaborasi syarikat korporat | DagangNews Skip to main content

RM21 juta untuk Bakul Prihatin Negara dengan kolaborasi syarikat korporat

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melihat barang-barang keperluan asas semasa meninjau penyediaan Bakul Prihatin Negara di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. - Foto BERNAMA

 

 

PUTRAJAYA 15 Julai - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat tinjauan ke pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya.

Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, turut hadir pada majlis itu ialah menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

 

Bakul Prihatin Negara ini adalah hasil cetusan idea daripada Perdana Menteri sendiri sebagai tindak balas proaktif terhadap senario yang dihadapi oleh rakyat pada masa ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Bakul Prihatin Negara yang merupakan nilai tambah kepada Program Bantuan Bakul Makanan, yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan sebagai inisiatif Prihatin Rakyat yang telah diumumkan sebelum ini termasuk dibawah pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Pelan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

 

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dilaksanakan bulan Mac 2020, Kerajaan melalui KPWKM telah mengagihkan sejumlah 1.4juta bakul makanan yang memberi manfaat kepada 5.6 juta isi rumah yang terjejas dan terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Tidak cukup dengan itu pada 1Julai yang lalu dibawah pakej PEMULIH, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk setiap ahli Parlimen tanpa mengira parti politik.

 

Jumlah keseluruhan peruntukan itu adalah sebanyak RM66.6 juta melibatkan penyediaan kira-kira 666,000 bakul makanan yang dianggarkan memberi manfaat kepada 2,664,000 rakyat di seluruh negara.

 

"Kerajaan terus cakna dan prihatin terhadap kehidupan rakyat yang terkesan apabila melaksanakan inisiatif terbaharu, Bakul Prihatin Negara yang merupakan kerjasama strategik berkonsepkan “Whole of Society” melibatkan Kerajaan dan syarikat korporat dengan pelaksanaan penyampaian bantuan oleh Sukarelawan Skuad Prihatin Negara dibawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," kata kementerian itu.

 

Dalam majlis hari ini, Perdana Menteri telah menerima sumbangan bernilai RM16 juta daripada 5 syarikat korporat untuk menjayakan program Bakul Prihatin Negara. Syarikat berkenaan adalah:

i. YayasanPETRONAS bernilai RM5 juta.

ii. AEON bernilai RM4 juta.

iii. Pharmaniaga bernilai RM3juta.

iv. Tenaga Nasional Berhad bernilai RM2juta.

v. Telekom Malaysia bernilai RM2juta.

 

Sumbangan daripada sektor korporat untuk Bakul Prihatin Negara disalurkan menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dibawah KPWKM. Keprihatinan syarikat-syarikat korporat yang telah tampil untuk menyokong usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat COVID-19 menerusi 3 program ini amat dihargai dan diharap menjadi galakan kepada syarikat-syarikat lain untuk turut menyumbang.

 

Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

 

Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan bantuan Bakul Prihatin Negara boleh menghubungi Bilik Gerakan JKM yang terdapat di 108 daerah di seluruh negara,Talian Kasih di 15999 atau Whatsapp ke 019-2615999.

 

Mereka juga boleh mengemukakan permohonan bantuan melalui Media Sosial Rasmi (Facebook/ Twitter/ Instagram KPWKM dan JKM) atau menghubungi pemimpin tempatan di kawasan masing-masing.

 

Lawat http://www.jkm.gov.my  untuk maklumat lanjut mengenai Bakul Prihatin Negara seperti Soalan Lazim (FAQ), borang dan carta alir permohonan serta nombor telefon Bilik Gerakan JKM di seluruh negara. - DagangNews.com