RM2.38 bilion BPN 2.0 telah diagihkan  | DagangNews Skip to main content

RM2.38 bilion BPN 2.0 telah diagihkan 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Kerajaan telah mengagihkan sebanyak RM2.38 bilion Bantuan Prihatian Nasional (BPN) bagi fasa kedua mulai 21 Januari lalu. 

 

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz meminta agar pemohon bersabar kerana ia melibatkan jumlah yang besar. 

 

"Saya tahu ada yang keliru mengenai BPN 2.0 ini. Saya minta penerima supaya bersabar kerana ia memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk pengkreditan sepenuhnya kepada semua penerima. 

 

"Kerajaan berharap bantuan yang dipercepatkan ini sedikit sebanyak dapat membantu aliran tunai 11.06 juta penerima bujang dan isi rumah di saat PKP ini," katanya dalam laporan Laksana ke-38 hari ini. 

 

Mulai 21 hingga 24 Januari lalu, sebanyak 6.4 juta akaun telah dikreditkan diikuti minggu berikutnya bagi 25 hingga 29 Januari pula melibatkan 3.8 juta akaun yang sedang dan akan dikreditkan.

 

Beliau berkata, mulai 25 Januari 2021, sebanyak 750,000 penerima yang tiada akaun bank sudah mula membuat tuntutan tunai di Cawangan Bank Simpanan Nasional di Semenanjung Malaysia bagi penerima B40 dan M40.

 

Tengku Zafrul menegaskan, pelaksanaan yang berhasil adalah lebih penting daripada angka-angka
peruntukan yang dinyatakan laporan Laksana. 

 

"Yang penting sekali, agensi dan kementerian akan terus memudah cara proses penyaluran bantuan supaya
semua pihak yang memerlukan akan disokong untuk bertahan atau bangun semula," jelas beliau. 

 

Dari segi melindungi rakyat dan memperbaiki ekonomi negara, beliau berkata, Belanjawan 2021 adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia bagi 2021. 

 

Pakej Bantuan Permai pula adalah satu pakej tambahan untuk merapatkan jurang pelaksanaan di antara waktu bencana banjir dan pengisytiharaan PKP dengan langkah-langkah Belanjawan 2021. 

 

"Harapan kita, Permai dapat merapatkan jurang dan melaraskan semula pemulihan ekonomi seperti dirancang Kerajaan melalui Belanjawan 2021," katanya. - DagangNews.com