RM24 bilion disalur kepada PKS, PKS mikro – Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

RM24 bilion disalur kepada PKS, PKS mikro – Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Setakat 27 November, pakej-pakej rangsangan kerajaan bersifat bantuan langsung, pinjaman atau geran telah memanfaatkan lebih 1.4 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS mikro dengan bantuan berjumlah lebih RM24 bilion.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, terdapat PKS dan PKS mikro yang menerima lebih daripada satu manfaat atau bantuan kerajaan bergantung kepada kelayakan.

 

Usaha cekal dalam meneroka bidang baharu, digandingkan dengan penggunaan teknologi termasuk pemasaran dalam talian bagi menjana pendapatan di dalam dunia perniagaan ini harus dipuji.

 

“Am mengetahui bahawa PKS dan PKS mikro merupakan tunjang kepada ekonomi negara, dan kerajaan sentiasa memberi sokongan berterusan sejak dari pelaksanaan pakej Prihatin sehinggalah perangkaan Belanjawan 2021 baru-baru ini,” katanya dalam Laporan Laksana ke-32 hari ini.

 

Antara manfaat dan bantuan yang diberikan menyaksikan lebih 21,000 usahawan PKS dan PKS mikro menjana jualan lebih RM1.2 bilion daripada suntikan RM140 juta menerusi inisiatif e-dagang Penjana di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) termasuk Shop Malaysia Online dan Micro and SMEs E-Commerce Campaign.

 

Selain itu, dana Pinjaman Mudah PKS di bawah kendalian Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM11.13 bilion diberikan kepada 23,7000 PKS.

 

Program Subsidi Upah (PSU) pula menyaksikan peruntukan berjumlah RM9.89 bilion yang mernbantu hampir 300,000 PKS dan PKS mikro serta 1.85 juta pekerja (tidak termasuk syarikat pertengahan atau besar).

 

Dalam pada itu, Geran Khas Prihatin 1.0 dan 2.0 berjumlah RM2.55 bilion diberikan kepada 850,000 PKS mikro setakat ini.

 

Jumlah ini belum lagi mengambil kira moratorium, diskaun elektrik, diskaun premis perniagaan, pelepasan atau pengecualian cukai dan sebagainya, yang disediakan bagi mengurangkan bebanan kos operasi dan membantu menambah aliran tunai PKS dan PKS mikro.

 

“Sehingga September tahun ini sahaja, menurut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebanyak 85,901 perniagaan baharu telah didaftarkan dengan mereka, berbanding 76,443 syarikat bagi keseluruhan tahun 2019.

 

Kerajaan berharap kesemua sokongan yang diberikan ini akan membolehkan mereka berdaya saing dalam jangka masa sederhana dan panjang, beserta penerapan teknologi dan sistem operasi yang moden dan sesuai dalam norma baharu ini,” tambah Tengku Zafrul. – DagangNews.com