RM6.04 bilion moratorium diluluskan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi | DagangNews Skip to main content

RM6.04 bilion moratorium diluluskan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah meluluskan 10,710 permohonan lanjutan moratorium dan bank bersasar melibatkan agensi pembiayaan di bawahnya berjumlah RM6.04 bilion setakat 8 Oktober 2020. 

Dalam tempoh itu, kementerian menerima 18,670 permohonan dengan nilai sebanyak RM6.704 bilion. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, langkah itu adalah sejajar dengan inisiatif kerajaan bagi mengurangkan beban kewangan rakyat serta cabaran aliran tunai yang dihadapi perniagaan susulan berakhirnya tempoh moratorium, 30 September lalu.

"Sehubungan itu, agensi–agensi pembiaya di bawah kementerian seperti Bank Rakyat, SME Bank, TEKUN Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengambil inisiatif proaktif mendapatkan maklum balas mengenai permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar dari pemilik akaun terutama melibatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Permohonan lanjutan moratorium dan bank bersasar yang diluluskan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Permohonan lanjutan moratorium dan bank bersasar yang diluluskan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koeprasi setakat 8 Oktober 2020
 

Namun begitu, menurut Wan Junaidi, sebanyak 5,422 permohonan dengan nilai RM622.34 juta atau 9.28% telah ditolak atas beberapa sebab antaranya, pendapatan pemohon tidak terjejas dan gagal menyediakan bukti pendapatan yang terjejas. 

"Selain itu, pihak kami juga mendapati pembiayaan berada dalam penjadualan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dan pinjaman tertunggak pula melebihi 90 hari dan tiada sumber bayaran balik," katanya. 

Daripada jumlah tersebut, katanya, hanya 1.7% permohonan yang ditolak adalah daripada PKS dan baki permohonan sebanyak 98.3% adalah permohonan individu. 

"Selebihnya iaitu sebanyak 2,538 permohonan dengan nilai berjumlah RM41.4 juta atau 0.57% pula masih dalam proses semakan dan pertimbangan agensi berkaitan," katanya. - DagangNews.com