RM9.9 juta Geran Agropreneur Muda diluluskan, kerajaan jangka kesan gandaan hingga RM89.4 juta | DagangNews Skip to main content

RM9.9 juta Geran Agropreneur Muda diluluskan, kerajaan jangka kesan gandaan hingga RM89.4 juta

 Datuk Haslina Abdul Hamid merasmikan Program Empowerment @ Agropreneur Muda 2021 yang dijalankan secara maya hari ini.
Datuk Haslina Abdul Hamid merasmikan Program Empowerment @ Agropreneur Muda 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Sebanyak RM9.9 juta peruntukan Geran Agropreneur Muda melibatkan 498 orang pemohon telah diluluskan hingga Julai 2021.

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, jumlah tersebut dijangka akan menyumbang RM29.8 juta kepada negara melalui economic spin-off berdasarkan sasaran untuk melahirkan agropreneur muda berpendapatan sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan selepas menerima bantuan geran.

 

Dalam pada itu, MAFI turut meletakkan jangkaan kesan penggandaan sebanyak RM89.4 juta melalui bantuan yang diberikan hari ini dan diserahkan Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid menerusi webinar Program Empowerment @ Agropreneur Muda 2021. 

 

"Pada tahun lalu, kementerian telah berjaya meningkatkan penglibatan golongan muda apabila seramai 1,149 orang menerima bantuan geran bernilai RM21.7 juta berbanding 750 orang pada tahun 2019 dan 785 orang pada tahun 2018.

 

"Data terkini menunjukkan bahawa daripada 14.6 juta belia di Malaysia, hanya 15% yang terlibat dalam bidang pertanian. Tambahan pula, kajian menunjukkan hanya 4% pelajar di universiti yang akan mempertimbangkan kerjaya dalam bidang pertanian.

 

"Kesemua data ini menunjukkan bahawa persepsi para belia kepada sektor pertanian perlu diperbaiki lagi," jelas MAFI dalam satu kenyataan.

 

.

 

Menyedari hakikat itu, MAFI sedar pihaknya perlu mengambil langkah sewajarnya bagi meremajakan sektor pertanian.

 

Sehubungan itu, MAFI akan melancarkan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dalam masa terdekat yang merupakan dasar jangka masa panjang bagi tempoh 2021 hingga 2030.

 

Dasar berkenaan akan menjadi panduan kepada rangka kerja di Kementerian dan pelaksanaan di peringkat Jabatan dan Agensi.

 

Mengulas lanjut, MAFI akan meneruskan usaha dan merancakkan lagi penglibatan golongan muda menyertai bidang pertanian dan agromakanan dengan membuka permohonan geran kepada yang baru menceburi atau belum pernah menjalankan sebarang projek pertanian. 

 

Permohonan baru itu tertakluk kepada syarat-syarat yang akan dikemukakan antaranya keperluan untuk menghadiri kursus-kursus teknikal yang ditetapkan dan sebagainya. - DagangNews.com