KUALA LUMPUR 10 Mac - Kajian Rokok Seludup (ICS) di Malaysia pada 2021 yang dikendalikan oleh syarikat penyelidikan pemasaran antarabangsa Nielsen mendapati rokok seludup di Malaysia telah menurun sebanyak 6.5% daripada mata tertinggi yang dicatat sebanyak 63.8% pada 2020.
Inilah kali pertama sejak 2014 rokok seludup mencatat penurunan namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk menangani isu ini kerana Kerajaan terus kehilangan berbilion ringgit setiap tahun daripada cukai yang tidak dibayar ke atas rokok seludup ini.
Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) berkata, ia menunjukkan bahawa tindakan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada Bajet 2021 mula menunjukkan hasil.
“Ini adalah perkembangan yang baik dan CMTM menyeru agar Kerajaan dan pemegang taruh untuk terus berusaha membanteras perdagangan rokok seludup ini,” kata jurucakap CMTM dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes rokok seludup sebanyak 57.3% adalah masih tinggi. Malaysia kekal negara tertinggi kes bagi rokok seludup, dan sindiket penyeludupan bertindak balas kepada kaedah yang diumumkan Bajet 2021 dengan menggunakan cara baru untuk membawa rokok seludup ke Malaysia.
CMTM menyeru agar Kerajaan terus meningkatkan penguatkuasaan dalam menangani aktiviti penyeludupan ini, terutama di kawasan pesisir pantai dan memastikan kaedah yang diumumkan pada Bajet 2021 dikekalkan dan dilaksanakan penguatkuasaannya.
''Ini termasuklah kerjasama lebih erat antara industri dan Kerajaan untuk menangani aktiviti menyeludup tembakau melalui Penguatkuasa Pelbagai Agensi (MATF),'' katanya.
CMTM turut meminta Kerajaan untuk melaksanakan analisis impak perundangan dan ekonomi yang terperinci, dan turut melibatkan pelbagai pemegang taruh dalam rantaian nilai keseluruhan, termasuklah pengilang, pengedar, dan peruncit, sebelum memperkenalkan cadangan seperti Penamat Tembakau 2040, yang mungkin akan secara tidak langsung meningkatkan produk seludup di pasaran dan menghapuskan kejayaan yang dicapai dalam menangani perdagangan rokok seludup di Malaysia. - DagangNews.com