Rolls-Royce bekalkan Pek Kuasa Kinetik mtu kepada pengeluar semikonduktor X-FAB Sarawak | DagangNews Skip to main content

Rolls-Royce bekalkan Pek Kuasa Kinetik mtu kepada pengeluar semikonduktor X-FAB Sarawak

Empat unit bekalan kuasa tanpa gangguan jamin muatan kuasa kritikal bagi operasi semikonduktor di Malaysia. - Gambar Rolls-Royce Holdings plc
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 Mac - Rolls-Royce telah membekalkan dan mentauliahkan empat daripada Pek Kuasa Kinetik mtu keluarannya kepada X-FAB Sarawak, iaitu cabang X-FAB di Malaysia, sebuah kumpulan faundri yang terulung di dunia bagi aplikasi semikonduktor terkhusus.

 

Unit bekalan kuasa tanpa gangguan dinamik (DUPS) ini menjamin muatan kuasa kritikal bagi operasi di kemudahan pengeluaran syarikat yang terletak di Kuching, Sarawak, di Malaysia.

 

Pek Kuasa Kinetik mtu dicipta untuk menjamin kelancaran prestasi di bawah cabaran bekalan kuasa yang paling mendesak.

 

Unit ini membekalkan kuasa serta-merta yang bermutu tinggi menerusi penggunaan tenaga kinetik. Dengan mengenepikan keperluan bateri dalam konfigurasi UPS piawai, unit mesra alam ini menimbulkan jejak karbon lebih kecil kerana jangka hayat peralatan 20+ tahun dan keupayaan menggunakan bahan api lestari seperti HVO.

 

Pengurus Projek, Rolls-Royce Solutions Asia Pte. Ltd., Bryan Foo berkata, keyakinan bahawa bekalan kuasa yang diterima boleh dipercayai dan bermutu paling tinggi, walaupun semasa berlaku ketidakstabilan atau gangguan kepada grid, adalah penting bagi mana-mana perniagaan.

 

"Malah lebih penting lagi bagi syarikat seperti X-FAB Sarawak yang mempunyai output produk kritikal bertahap tinggi yang konsisten dan juga yang perlu menyokong ramai kakitangan dan pelbagai fungsi korporat.”

 

Kilang X-FAB di Kuching mengilang wafer semikonduktor untuk penggunaan sektor automotif, perindustrian dan perubatan dan mempunyai lebih daripada 1,400 kakitangan dan pelbagai operasi meluas seperti kewangan dan pemerolehan.

 

Empat Pek Kuasa Kinetik mtu yang dipasang menggunakan konfigurasi voltan sederhana selari yang membekalkan 2000 kVA (1600kW).

 

Unit terbaharu ini menggantikan unit DUPS sedia ada lebih lama daripada pengilang berbeza yang mengalami masalah berterusan dari segi keciciran muatan kritikal daripada sistem kuasa utama.

 

Dalam operasi biasa, apabila bekalan kuasa awam berfungsi, Pek Kuasa Kinetik menggunakan cok – lingkaran elektromagnet berpusat – untuk mengimbangi naik turun arus dan voltan jangka pendek dalam grid kuasa.

 

Pek Kuasa Kinetik juga disediakan bersama perjanjian perkhidmatan mtu ValueCare, yang memberikan khidmat penyenggaraan pencegahan secara berkala dan sokongan teknikal untuk menjamin prestasi maksimum.

 

Jurutera Projek, Rolls-Royce Solutions Asia Pte. Ltd., Elvenrey Rios berkata, pasukan projek Rolls-Royce menitikberatkan dan membudayakan keselamatan, kualiti produk dan peralatan mesra pengguna X-FAB sepanjang proses.  

 

"Sokongan muatan kritikal yang diberikan oleh Pek Kuasa Kinetik mtu yang sedia ada juga mendorong pelanggan untuk mendapatkan satu lagi unit tambahan daripada Rolls-Royce,” kata beliau.- DagangNews.com