Royaljet LLC masuki pasaran Malaysia dengan potensi pengambilalihan perniagaan penerbangan Sapura Resources | DagangNews Skip to main content

Royaljet LLC masuki pasaran Malaysia dengan potensi pengambilalihan perniagaan penerbangan Sapura Resources

Datuk Shahriman Shamsuddin (kiri) dan Mohammed Husain Ahmed (kanan) memeterai perjanjian antara RoyalJet dan Sapura Resources, baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - RoyalJet LLC dan Sapura Resources Berhad (SRB) memeterai perjanjian utama (HOA) bersyarat dengan potensi pemerolehan perniagaan penerbangan SRB di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

 

RoyalJet berhasrat untuk berada dalam pasaran penerbangan persendirian Asia Tenggara, dengan menetapkan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sebagai hab serantau untuk penyewaan persendirian dan untuk perniagaan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

 

Langkah strategik itu mewakili pengembangan geografi RoyalJet ke pasaran Asia.

 

Ketua Pegawai RoyalJet, Mohammed Husain Ahmed menyatakan minat terhadap prospek pertumbuhan syarikat di Asia dan melihat perbincangan dengan SRB ini sebagai asas kukuh untuk membina kehadiran yang lebih kukuh di rantau ini. 

 

“Kami berminat untuk mengembangkan perniagaan kami di Asia. Perbincangan berterusan dengan perniagaan penerbangan Sapura Resources Berhad menawarkan peluang yang baik”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

sapura

 

Pengarang Urusan SRB, Datuk Shahriman Shamsuddin berkata, dengan sokongan hubungan dua hala yang sangat baik kedua-dua negara, pihaknya menantikan perbincangan dengan RoyalJet.

 

Kedua-dua syarikat percaya bahawa cadangan pengambilalihan cabang penerbangan SRB oleh RoyalJet adalah seiring dengan rancangan semasa untuk meremajakan industri penerbangan swasta, yang akan memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan ekonomi Selangor terutama di sekitar lapangan terbang Subang.

 

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, perjanjian antara Royal Jet dan SRB ini melengkapkan usaha untuk meremajakan Lapangan Terbang Subang.

 

“Fokus kami adalah untuk meletakkan Lapangan Terbang Subang sebagai bandar raya premium dan lapangan terbang serantau, serta membangunkan sektor penerbangan am dan perniagaan di Malaysia.

 

"Kehadiran Royal Jet di Lapangan Terbang Subang akan mewujudkan momentum dalam menarik lebih ramai pemain penerbangan antarabangsa ke dalam ekosistem," katanya. - DagangNews.com