Rundingan UMNO, PAS hanya sah jika diputuskan parti - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Rundingan UMNO, PAS hanya sah jika diputuskan parti - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR 8 Sept - Setiap rundingan dan pertemuan sulit dalam UMNO dan PAS hanya boleh disahkan jika ia diputuskan oleh parti, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, rundingan perlu dilaksanakan secara rasmi dan diputuskan oleh UMNO.

 

"Jika ada rundingan atau perbincangan, kita tidak boleh sekat. Sesiapa saja boleh berjumpa dengan rakan daripada PAS atau parti lain.

 

"Namun, rundingan hanya boleh jadi sah dan menjadi dasar parti jika ia diputuskan oleh parti, yang mana UMNO putuskan siapa wakil sah untuk berunding dan sebagainya.

 

"Jika sendiri-sendiri, ia tidak dianggap mewakili parti," katanya selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2022 (MIHAS 2022), di sini, hari ini, Berita Harian melaporkan.

 

Sebelum ini, seorang pemimpin PAS mendakwa, wujud rundingan sulit membabitkan pemimpin tertentu dalam UMNO dan PAS menyentuh keperluan satu lawan satu antara mereka dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

 

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, dilaporkan berkata partinya mahu UMNO tahu bahawa musuh utama pada PRU-15 kelak adalah PH dan bukannya Bersatu.

 

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan wujud rundingan itu, namun enggan mendedahkan siapa dan di peringkat mana dalam UMNO perbincangan itu berlaku, sebaliknya pemimpin yang terbabit didakwa 'mempunyai jawatan' dan berkeupayaan 'mempengaruhi keputusan' pucuk pimpinan UMNO.

 

Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan secara terbuka, berpendirian supaya parti itu bertanding secara solo di bawah gabungan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani PRU-15 akan datang.

 

Pendirian yang turut dijelaskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu dipercayai dibuat bersandarkan beberapa tindakan dan tingkah laku PAS sebelum ini, yang secara berterusan memaksa untuk UMNO menerima Bersatu. - DagangNews.com