Sabah berhasrat wujudkan pusat utama pelaburan | DagangNews Skip to main content

Sabah berhasrat wujudkan pusat utama pelaburan

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Sabah berhasrat untuk mewujudkan sebuah pusat utama khusus untuk aspek pelaburan di negeri itu. 

 

Ini bertujuan menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa dalam merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri itu pada masa depan.

 

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, cadangan itu telah dikemukakan dan dibincangkan bersama Ketua Menteri,  Datuk Hajiji Noor.

 

“Sudah tentu apabila ada pelabur, kita harus mencari pendekatan untuk mempermudahkan urusan pelaburan mereka. 

 

“Justeru, Ketua Menteri bersetuju untuk mewujudkan pusat sehenti berkenaan bagi memudahkan para pelabur,” katanya menurut laporan Bernama.

 

Beliau optimis pusat itu dapat mengurangkan kerenah birokrasi yang melambatkan urusan mahupun aktiviti pelaburan yang ingin dijalankan di negeri itu.

 

“Pada Januari ini, ada 10 pelabur akan datang ke Sabah untuk membentangkan kertas kerja mereka,” tambahnya.

 

Merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Bung Moktar berkata, satu pelan tindakan akan dibentangkan kepada Kabinet negeri berhubung hala tuju pembangunan sektor pelabuhan Sabah supaya lebih mampan dengan menerapkan sistem yang cekap.

 

Ini penting bagi mengoptimumkan keupayaan kesemua pelabuhan di Sabah, ujar Bung Mokhtar.

 

“Memandangkan hanya 50% hingga 60% sahaja daripada kapasiti pelabuhan terbabit dimanfaatkan sedangkan kedudukan Sabah begitu strategik kerana berhampiran dengan China, Filipina, Indonesia dan Brunei.

 

“Kita di Sabah ada lapan pelabuhan. Bukan kita tidak berpuas hati dengan prestasi pelabuhan yang ada ini, tetapi, ia dilihat tidak begitu menarik perhatian seluruh dunia. Selaku menteri bertanggungjawab, saya tidak berdiam diri.

 

“Kita akan naik taraf beberapa pelabuhan di Sabah sebagai pelabuhan antarabangsa yang menjadi tarikan peniaga dan usahawan seluruh negara,” katanya.

 

Katanya lagi, perkara itu akan dibincangkan bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah bagi mengemukakan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan. - DagangNews.com