Saeed Mubarak memulakan tugas sebagai Pengurus Negara Emirates Airlines di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saeed Mubarak memulakan tugas sebagai Pengurus Negara Emirates Airlines di Malaysia

Pengurus Negara baharunya di Malaysia, Saeed Mubarak

KUALA LUMPUR 1 Nov - Syarikat penerbangan Emirates mengumumkan Pengurus Negara baharunya di Malaysia, Saeed Mubarak yang memulakan khidmatnya secara rasmi hari ini.

 

Saeed mengambil alih daripada Mohammad Al Attar yang telah menerajui pasaran ini selama tiga tahun sejak 2019. Mohammad kini mengetuai operasi syarikat penerbangan itu di Indonesia.

 

Saeed menyertai program latihan pentadbiran Emirates Airlines enam tahun lalu dan menyandang pelbagai peranan dalam jabatan komersial, yang terbaru ialah Pengurus Negara di Tunisia. Beliau memegang ijazah dalam sains gunaan, dengan pengkhususan dalam komunikasi.

 

Sebagai Pengurus Negara yang baharu untuk Malaysia, Saeed bertanggungjawab ke atas kelancaran keseluruhan perniagaan syarikat penerbangan itu di negara ini dan akan menguruskan pasukan 45 profesional, memastikan Emirates kekal sebagai syarikat penerbangan pilihan yang menarik untuk rakyat Malaysia.

 

Sambil menyatakan semangatnya dalam memikul tugas baharu di Malaysia, Saeed berkata, beliau tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan tempatan bagi meningkatkan kejayaan yang dicapai setakat ini serta mengukuhkan hubungan perniagaan dalam industri penerbangan.

 

"Saya juga teruja untuk mempromosikan Dubai sebagai destinasi menarik untuk pelancong riadah dan perniagaan di rantau ini,” kata beliau.

 

Program luar negara UAE membolehkan pengurus komersial mengambil pelbagai peranan kepimpinan dalam syarikat merentas pelbagai pasaran seperti Timur Tengah, Timur Jauh, Asia Barat dan Eropah.

 

Setelah melalui program Pelatih Komersial Emirates untuk graduan, Emiratis (rakyat Emiriah Arab Bersatu) dapat memajukan kerjaya mereka dan meluaskan pendedahan mereka melalui pelbagai peranan dalam syarikat.

 

Langkah terbaharu ini akan menyaksikan 11 warga UAE berpengalaman ditempatkan di pasaran penting di mana mereka akan mengetuai operasi komersial syarikat penerbangan itu dan membawa kemahiran dan pengalaman mereka untuk memacu pertumbuhan dan membangunkan strategi baharu.

 

Selain itu, mereka akan bertanggungjawab untuk mengukuhkan perkongsian dan jejak Emirates dalam pasaran yang ditetapkan mereka. - DagangNews.com