TANAH MERAH 4 Nov - Bermula dengan kerjaya guru tadika selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kini seorang Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mampu membuka tujuh cawangan tadika dan taska di empat daerah di Kelantan.
Pemilik Tadika Yuza Murni, Siti Fatima Alzahra Arifin, 35, berkata, sebaik tamat SPM, dia mengambil keputusan bekerja sebagai guru tadika yang diusahakan oleh ibunya, Zanah Che Sulaiman, 59, di Tanah Merah memandangkan memperoleh keputusan kurang membanggakan dalam pelajaran.
Pada masa sama katanya, dia juga mengambil keputusan berkahwin sebelum menyambung pelajaran dalam bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak di sebuah kolej.
"Sebaik habis diploma, saya menguruskan tadika milik ibu sebelum mengambil alih tadika berkenaan dan membuka enam lagi cawangan tadika iaitu tiga di Jeli, dua di Tanah Merah dan masing-masing satu di Kota Bharu dan Tumpat.
"Alhamdulillah, semua ini adalah berkat daripada bantuan daripada AIM yang memberi pinjaman dan bimbingan kepada saya.
"Di kala saya tidak mempunyai modal untuk memperbesarkan lagi perniagaan tadika, saya akan cari AIM. Mereka sentiasa bersedia memberi pinjaman kepada peniaga dan pengusaha tadika seperti saya," katanya ketika ditemui di sini.
Siti Fatimah Azzahra yang juga ibu kepada tiga anak berusia antara 13 hingga 16 tahun berkata, dia menyertai AIM sejak 14 tahun lalu dan sudah membuat pinjaman sebanyak 37 kali dengan jumlah lebih RM300,000.
"Saya bersyukur kerana dengan pinjaman ini dapat menambahkan modal dan mengembangkan lagi perusahaan tadika dan taska ini. AIM juga turut memberi sokongan kepada ahli supaya sentiasa berusaha untuk berjaya.
"Pinjaman yang disediakan AIM ini sekaligus dapat membantu saya membuka beberapa cawangan tadika," katanya yang mengenakan yuran bulanan bermula RM350 sehingga RM430.
Mengulas cabaran yang terpaksa dihadapi dalam bidang itu, Siti Fatimah Azzahra berkata, cabaran pengusaha adalah persaingan di antara tadika dan taska yang lain yang turut menyediakan pakej sama.
Namun katanya, disebabkan tadika miliknya sudah lama bertapak, jadi kebanyakan ibu bapa memilih tadikanya untuk menghantar anak-anak seawal usia bayi sehingga enam tahun.
"Selain itu, cabaran lain yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 apabila kekurangan kanak-kanak yang dihantar ke tadika dan taska. Namun, selepas pandemik, saya mula bangkit dan menerima lebih ramai anak-anak untuk belajar di taska dan tadika.
“Selain itu, saya turut mengambil pinjaman AIM ini untuk memulihkan kembali taska dan tadika," katanya yang turut dibantu oleh adiknya, Fatimah Alya Solehah, 26. - DagangNews.com