Sahabat Usahawan AIM sasar jualan bebola daging RM1 juta sebulan, bakal tembusi pasaran Timur Tengah | DagangNews Skip to main content

Sahabat Usahawan AIM sasar jualan bebola daging RM1 juta sebulan, bakal tembusi pasaran Timur Tengah

Yanong Latuka menunjukkan produk makanan sejuk beku bebola daging dan ayam, selain beberapa produk hasil keluaran Hajah Yanong Industries Sdn Bhd
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KINABATANGAN 25 Okt - 11 tahun lalu, seorang Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia ini hanya meraih jualan sebanyak RM500 sebulan. Namun hari ini, dia mampu menjana pendapatan sehingga enam angka setiap bulan hasil jualan bebola daging dan bebola ayam.

 

Malah hasil jualan produk keluarannya yang sebelumnya hanya dipasarkan di kedai-kedai runcit dan restoran sekitar Kinabatangan, kini telah berada di semua pasar raya di seluruh Sabah dan Semenanjung.

 

Bukan itu saja, hasil jualan pelbagai produk syarikat yang berpengkalan di Kampung Paris Tiga, Kinabatangan ini juga mencecah RM500,000 setiap bulan berbanding hanya RM50,000 setahun sebelumnya.

 

Itulah kejayaan Yanong Latuka, 65, pemilik dan pengasas Hajah Yanong Industries Sdn Bhd dan Hajah Yanong Frozen Food Enterprise yang mengusahakan produk bebola daging dan ayam serta lebih 30 produk makanan dan minuman lainnya.

 

Menurutnya, dia kini memiliki dua buah kilang pemprosesan makanan iaitu yang pertama di Kampung Paris Tiga yang dibina tahun 2012. Manakala kilang kedua yang disewanya terletak di Kompleks Usahawan SME, Lokkawi yang mula beroperasi sejak 2014 lalu.

 

"Ini adalah hasil usaha dan perancangan strategik sepanjang 14 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, termasuk memiliki sebuah premis jualan produk makanan beku di Kampung Paris Tiga.

 

"Kami juga memiliki 'central kitchen' di Penampang bagi membekalkan produk makanan ke lima kios atau gerai makanan milik kami yang terletak di Pekan Donggongon, Bundusan, Likas, Kepayan dan Lokkawi," katanya ketika ditemui di kilangnya di Kampung Paris 3 di sini.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

Menceritakan pembabitan awalnya dalam perniagaan ini, ibu kepada tujuh cahaya mata ini berkata, semuanya bermula dengan pinjaman awal daripada AIM, berjumlah RM1,000 pada penghujung tahun 2011.

 

Bermula daripada situ, dia memulakan pembuatan bebola daging dan ayam secara komersial dan pasaran ketika itu hanya tertumpu di kedai-kedai runcit serta restoran sekitar Kinabatangan.

 

"Pada mulanya,  produksi kami cuma menghasilkan (bebola) satu tan sebulan memandangkan peralatan dan tenaga kerja yang terhad sebelum menambah pinjaman sehingga mampu mengeluarkan sehingga 25 tan setiap bulan pada hari ini," katanya.

 

 

AIM

 

 

Yanong berkata, rahsia kejayaannya adalah usaha kerja keras tanpa putus asa yang disusuli dengan perancangan strategik pemasaran termasuk penjagaan kualiti serta harga produk yang kompetitif.

 

"Saya masih ingat lagi pada awal usaha ini, saya bersama anak-anak seramai enam orang pada masa itu bersama membuat bebola daging dan ayam secara manual dengan menggunakan tangan kerana tiada kelengkapan peralatan mesin.

 

 

AIM
Yanong Latuka bergambar di hadapan kilang Hajah Yanong Industries Sdn Bhd di  Kampung Paris Tiga, Kinabatangan, Sabah.

 

 

"Kami hidup susah ketika itu...ayah cuma kerja kampung malah rumah kami juga usang hingga kami pernah dirompak kerana rumah kami tidak ada dinding dan hanya berlapiskan kanvas.

 

"Dari situ, kami bertekad mengubah kehidupan agar lebih baik dan melalui AIM sebagai pihak yang banyak membantu selama ini, kami berjaya mencapai kejayaan pada hari ini," katanya.

 

 

AIM
Yanong Latuka (kanan) bersama para pekerja menghasilkan produk makanan sejuk beku. 

 

 

Yanong berkata, mereka menyasarkan untuk mengembangkan lagi perniagaan keluarga ini dengan membina sebuah kilang lebih besar bagi menambah pengeluaran produk sehingga 70 tan sebulan pada masa depan.

 

Katanya, di bawah perancangan itu, dia yakin pengeluaran hasil produk mampu meningkat sehingga RM1 juta sebulan berbanding pendapatan sebelum ini.

 

 

AIM

 

 

"Kami sedang mencari lokasi baharu bagi pembinaan kilang yang lebih besar bagi memenuhi permintaan pasaran termasuk permintaan dari luar negara khususnya negara-negara di Timur Tengah.

 

"Sebagai persediaan, kami kini memiliki sebuah mesin pengawet makanan (retort) berharga RM250,000 yang mampu memproses sehingga 3,000 pek makanan sehari, sekaligus memudahkan pengeluaran produk kami.

 

"Pada masa sama, perkhidmatan ini turut kami kongsikan dengan usahawan lainnya di Sabah khususnya yang mahu memulakan pengeluaran produk makanan segera sebagaimana kami lakukan hari ini," katanya. - DagangNews.com