Saham berkaitan telekomunikasi lonjak KLCI | DagangNews Skip to main content

Saham berkaitan telekomunikasi lonjak KLCI

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Pasaran tempatan petang ini kembali meneruskan aliran kenaikan sejajar dengan pasaran serantau yang lain disokong kaunter-kaunter berkaitan telekomunikasi susulan pengumuman inisiatif MyDigital.

 

Ia menyaksikan indeks utama FBM KLCI menokok 9.09 mata atau 0.58% kepada 1,584.93 mata setelah bergerak dalam jajaran antara 1,573.84 hingga 1,584.93 mata. 

 

Keseluruhan kaunter bagaimanapun negatif apabila kaunter rugi mengatasi untung pada 653 berbanding 581 manakala 411 kaunter tidak berubah. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 14.37 bilion bernilai RM6.36 bilion, lebih rendah berbanding semalam sebanyak 14.5 bilion bernilai RM6.74 bilion. 

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, pasaran saham Asia seperti China, Korea Selatan, Hong Kong dan Filipina meningkat di sebalik ketidaktentuan berikutan pertambahan rakyat Amerika Syarikat (AS) di luar jangkaan mencari faedah pengangguran dan juga peningkatan hasil bon global.   

 

Di peringkat domestik pula, katanya, saham-saham berkaitan telekomunikasi menjadi pilihan pelabur terutama pemain utama seperti Maxis, Axiata dan Digi yang merekodkan kenaikan dalam dagangan hari ini. 

 

Ketika ditutup petang ini, Maxis menokok 1.71% kepada RM4.75 sesaham manakala Axiata pula naik 2.43% kepada RM3.37 dan saham Digi naik 0.81% kepada RM3.74.

 

Bagi saham Telekom Malaysia (TM) pula, ia menokok 0.62% kepada RM6.48 sesaham.

 

Ini susulan daripada pelancaran inisiatif MyDigital pagi tadi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

 

Inisiatif MyDigital yang dilaksanakan itu merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Pelan strategik itu merupakan pelengkap kepada dasar  pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12

 

Dalam kenyataan, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Imri Mokhtar berkata, rangkaian global TM yang semakin berkembang dengan lebih daripada 20 sistem kabel dasar laut sepanjang 190,000 kilometer bersedia untuk menyokong permintaan kesalinghubungan global MyDigital.

 

Menurut Adam Mohamed, TM yang diumumkan satu-satunya syarikat tempatan berasaskan cloud service provider (CSP) menyumbang kepada kenaikan indeks Perkhidmatan Telekomunikasi Bursa Malaysia. 

 

"Indeks itu merekodkan kenaikan terbesar meningkat hampir 4% ketika mengakhiri dagangan petang ini. 

 

"Ini sekali gus melonjakkan indeks Teknologi Bursa Malaysia mengukuh 1.3%," katanya kepada DagangNews.com.

 

Selain TM, kerajaan turut memberi kebenaran bersyarat untuk membina dan menguruskan pusat data berskala hiper dan perkhidmatan CSP kepada 3 syarikat teknologi global iaitu Microsoft, Google dan Amazon. 

 

Sebanyak RM12 billion hingga RM15 billion akan dilaburkan oleh syarikat-syarikat CSP atau penyedia perkhidmatan awan dalam tempoh 5 tahun akan datang.  

 

Beliau berkata, pada minggu hadapan, semua mata akan tertumpu kepada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula 26 Februari setelah menerima kumpulan pertama bekalan vaksin, Ahad ini. 

 

Dengan mengambil kira, program vaksin ini berjalan lancar, ia akan memberi kelebihan kepada ekuiti tempatan dengan aktiviti dagangan dijangka diniagakan tinggi minggu hadapan.

 

"Tidak mustahil, KLCI sekali lagi akan melepasi rintangan 1,600 mata minggu hadapan dan kembali pulih," jelasnya. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, katanya, ringgit dijangka terus mengukuh berbanding dolar AS pada paras antara RM4.02 hingga RM4.03 minggu hadapan. 

 

Ketika ditutup petang ini, ringgit berada pada paras RM4.0400/0450 berbanding dolar AS, tidak berubah daripada RM4.0400/0440 pada penutupan semalam. - DagangNews.com