Saham berorientasikan eksport dapat manfaat daripada kelemahan ringgit | DagangNews Skip to main content

Saham berorientasikan eksport dapat manfaat daripada kelemahan ringgit

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 7 Sept - CGS-CIMB Research mendapati saham-saham bermodal kecil dan sederhana di bawah liputannya meraih manfaat daripada kelemahan ringgit baru-baru ini terutama perniagaan berorientasikan eksport.

 

Mata wang tempatan itu susut 8% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi berbanding kelemahan mata wang negara jiran dengan rupiah susut 5%, dolar Singapura (-4%) dan dong (-3%) kecuali baht, susut 10% berbanding dolar AS setakat ini.

 

Penganalisisnya, Walter Aw berkata, ringgit yang lemah secara amnya memberi manfaat kepada perniagaan yang dipacu eksport, memberi kelebihan daya saing berbanding pesaing yang berpangkalan di negara lain.

 

Beliau menjangkakan peningkatan kukuh dalam volum eksport untuk perniagaan yang dipacu eksport untuk bertahan pada masa hadapan (pemangkin utama untuk memacu pendapatan pada separuh kedua 2022), ditambah dengan pengembangan margin daripada keuntungan mata wang.

 

"Antara saham yang kami kenal pasti ialah berkaitan pengguna dan perindustrian - Wellcall Holdings Bhd., Karex Bh., Power Root Bhd., Panasonic Manufacturing Malaysia Bhd. dan Kawan Food Bhd.

 

"Sementara itu, saham berkaitan pembungkusan seperti Thong Guan Industries Bhd. juga berupaya meraih manfaat memandangkan pendedahan kukuh kepada pasaran yang didominasi dolar AS. 

 

"Pada pandangan kami, saham berkaitan teknologi, sarung tangan getah dan syarikat berkaitan minyak sawit bukanlah penerima manfaat utama persekitaran semasa kerana keseluruhan bekalan-dinamik global yang lemah dalam setiap sektor," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut Aw, kadar pengangkutan global telah menurun baru-baru ini apabila kekangan penghantaran global semakin berkurangan dan ia secara tidak langsung memanfaatkan syarikat yang dipacu eksport memandangkan ketersediaan yang lebih baik untuk menghantar lebih banyak pesanan pada kadar lebih menjimatkan.

 

Didapati juga pesanan eksport beberapa syarikat berkenaan telah terjejas sejak separuh kedua 2020, kerana sesetengah pelanggan mereka telah menahan pesanan bagi menunggu kadar penghantaran yang lebih rendah dan ketersediaan ruang yang lebih baik.

 

"Semakan kami mendedahkan syarikat tertentu (Wellcall, Kawan dan Power Root) baru-baru ini menyaksikan aliran pesanan yang kukuh daripada pelanggan eksport mereka, berikutan aktiviti menambah semula stok dan kesan gangguan perdagangan daripada dasar COVID-19 di China," katanya.

 

Beliau juga positif dengan pembukaan semula sempadan negara sejak 1 April lalu terhadap aktiviti pemasaran dan perniagaan yang kembali berkembang.

 

Katanya, ia membolehkan pelanggan eksport menjalankan audit terhadap kemudahan operasi dan pembuatan, sekali gus mendorong kepada pesanan yang lebih tinggi terutama dalam kalangan pelanggan baharu.

 

"Pembukaan semula sempadan juga membolehkan syarikat meningkatkan pengambilan pekerja asing secara berperingkat-peringkat dan ini dilihat positif kerana akan membantu melonjakkan lagi jumlah pengeluaran dan memenuhi rancangan pengembangan.

 

"Bagaimanapun, kami memahami terdapat sesetengah syarikat menghadapi kekurangan pekerja yang berpanjangan akibat pembekuan pengambilan pekerja asing sejak 2020, mengakibatkan kadar penggunaan pengeluaran yang rendah," tambahnya. - DagangNews.com